SAYA IBARAT HILANG SAHABAT KARIB –IBU GRADUAN MENINGGAL DUNIA
PULAU PINANG, 8 Nov. 2014 – ``Anak sulung selalunya akan rapat dengan ibu. Begitu juga kisahnya dengan Allayarham Muhammad Afiq. Dia tempat saya berkongsi segala suka dan duka. Ketiadaannya membuatkan saya seperti hilang seorang sahabat karib.’’
Demikian luahan hiba seorang ibu, Zaini bt. Ishak, ketika menceritakan betapa dia merindukan permata sulungnya, Allayarham Muhamad Afiq Jamaluddin, graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 20 Ogos yang lalu.
Allayarham Muhamad Afiq yang meninggal akibat penyakit kanser dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) pada Upacara Konvokesyen ke-50 USM setelah berjaya menamatkan pengajiannya walaupun terpaksa bertarung dengan penyakit yang dihidapinya.
Zaini berkata, beliau bersama suami, Jamaluddin Kasa hadir ke USM atas semangat yang ditunjukkan allayarham anak mereka, yang disifatkan sebagai sangat kental untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu walaupun dibelenggu masalah kesihatan.
``Anak saya itu sangat baik orangnya. Walaupun tahu dia sakit, Allayarham tidak pernah terlalu memikirkannya dan menjalankan pelbagai aktiviti kesukaannya seperti biasa. Allayarham juga sangat aktif ketika di USM termasuk dalam sukan mengayuh basikal.
``Saya dan suami hadir ke USM untuk memberi semangat kepada empat lagi permata hati yang bersama kami. Mereka perlu menjadikan kejayaan Allayarham abang mereka ini sebagai satu dorongan untuk turut meraih kecemerlangan,’’ jelas beliau.
Mengimbas kesukaan Allayarham, Zaini menegaskan, anaknya itu tidak cerewet dan sangat rapat dengan adik-adiknya. Malah ketika pulang bercuti, Allayarham akan menghabiskan masanya bersama adik-adik berbual sehingga ke pagi.
Empat lagi cahaya mata pasangan tersebut ialah Nurul Afiqah, 23 yang sedang menuntut di Universiti Utara Malaysia, Muhammad Fikri, 20 (Universiti Malaysia Perlis), Muhamad Naim, 17 dan Nurul Aqilah, 15.
``Saya redha dengan pemergiannya dan menganggap itu satu ujian buat kami,’’ ujarnya yang turut menyifatkan anak-anak yang lain banyak memberi semangat untuknya dan suami meredakan rasa ‘kehilangan’ yang cukup besar buat mereka.
Dalam pada itu, Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur hadir menyerahkan skrol ijazah kepada keluarga Allayarham Muhamad Afiq dan menasihatkan adik-adiknya untuk tidak patah semangat dalam menuntut ilmu.
Beliau berkata, keluarga Allayarham Muhamad Afiq khususnya adik-adiknya perlu menjadikan kejayaan itu sebagai penguat semangat dan dorongan untuk berjaya hingga ke tahap tertinggi.
``Pihak Universiti juga mengucapkan takziah dan turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan kepada keluarga Allayarham Muhamad Afiq. Pun begitu, keluarga diharap terus tabah dan menjadikan kejayaan Allayarham sebagai kenangan manis buat semua,’’ katanya.
Turut hadir pada sesi penyerahan skrol itu ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Adnan Hussein. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1340