USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIRKAN GRADUAN SULUNG IJAZAH SARJANA SAINS (KEJURUTERAAN MIKROELEKTRONIK)

IMG 1599

PULAU PINANG, 8 November 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) hari ini melahirkan siswazah sulung dalam Sarjana Kejuruteraan Mikroelektronik hasil bekerjasama dengan pihak industri terutamanya di kawasan sekitar Pulau Pinang.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman mengucap syabas dan tahniah kepada semua graduan bukan sahaja kerana dapat menghabiskan pelajaran di peringkat sarjana dalam masa setahun malah dapat menyertai industri yang amat kompetitif dalam masa ini.

“Para pelajar ini mempelajari dengan lebih mendalam mengenai bidang Kejuruteraan Elektronik terutamanya mengenai domain digital and analog integrated circuit design (ICD), advance signal integrity dan solid state technology,” tambah Naib Canselor ketika ditemui di sidang media yang diadakan hari ini bagi meraikan para graduan tersebut.

“Program ini diwujudkan atas permintaan industri yang memerlukan jurutera yang terlatih dan mempunyai bakat dalam bidang ICD,” kata Dekan PPKEE, Profesor Dr. Mohd Zaid Abdullah.

“TalentCorp Malaysia telah menaja seramai 19 orang pelajar pada Sidang Akademik 2013/2014 di bawah program FasTrack Master ini.  Daripada jumlah tersebut seramai 12 orang daripada Intel Microelectronic (M) Sdn. Bhd, tiga orang daripada Motorola Solutions Malaysia Sdn.Bhd. dan empat orang daripada Altera Corporation Sdn. Bhd. 

“Manakala pembahagian dalam bidang pengajian pula, seramai 11 orang mengikuti Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Mikroelektronik) mod campuran, empat orang mengikuti Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Rekabentuk Sistem Elektronik) mod campuran dan empat orang mengikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik – mod penyelidikan,” tambah Zaid.

Menurut salah seorang graduan, Sureindra Kumar Oothayer Kumar dari Altera Corp. Sdn. Bhd., beliau memilih kursus tersebut adalah kerana ingin memperoleh ilmu yang lebih dalam bidang mikroelektronik dan menyumbang kepada pembangunan teknologi.

“Melalui segala bantuan yang diberikan saya meletakkan  harapan bagi menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah dan terus menyumbang kepada pembangunan teknologi,” tambah Sureindra.

“Program sebegini membantu saya untuk pembangunan karier dalam bidang mikroelektronik kerana saya amat meminati bidang ini dan dapat memberikan peluang kepada saya untuk pergi lebih jauh,” ujar salah seorang graduan dari Intel Microelectronics. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

                                                                 

  • Created on .
  • Hits: 1468

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024