ISDEV LAHIRKAN 11 SISWAZAH DOKTOR FALSAFAH
PULAU PINANG, 10 November 2014 - Jika dahulu Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) hanyalah pusat maya di bawah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) namun mulai 17 April 2014 ISDEV telah dinaiktaraf sebagai Pusat Kajian Kecemerlangan Penyelidikan dan mampu melahirkan graduan Ph.D mereka tersendiri.
“Empat daripada 11 siswazah Doktor Falsafah ISDEV telah diserapkan untuk menjadi pensyarah di USM khususnya ISDEV,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika ditemui selepas Sidang Kelapan Upacara Konvokesyen ke-50 USM baru-baru ini.
Menurut Pengarah ISDEV, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh, 10 siswazah mendapat keputusan cemerlang iaitu mendapat Skala 1 berbanding hanya seorang mendapat Skala 2.
“Kecemerlangan siswazah berkenaan adalah hasil gabungan tiga faktor utama iaitu bimbingan mingguan dan bulanan secara kolektif oleh para pensyarah, penilaian perkembangan pelajar dengan lebih dekat dan mendalam serta sistem bertawakal kepada Allah S.W.T.,” jelas Muhammad Syukri.
“ISDEV akan menawarkan satu kursus baharu iaitu Islamic Service Management di samping empat kursus yang lain seperti Pembangunan Berteraskan Islam, Pengurusan Aset Islam, Pengurusan Institusi Pembangunan Islam dan juga Ekonomi Politik Islam di peringkat Sarjana dan juga Doktor Falsafah,” tambah Muhammad Syukri.
Siswazah sulung Doktor Falsafah ISDEV, Dr. Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata pemilihan ISDEV sebagai sebuah Pusat Kajian Kecemerlangan Penyelidikan sangat dinantikan oleh para pensyarah dan juga pelajarnya.
“Lagipun kursus-kursus yang ditawarkan sangat unik. Selepas dinaiktaraf, bakal pelajar akan lebih yakin untuk memilih ISDEV sebagai tempat untuk melanjutkan pelajaran,” tambah Mohd Shakir yang membuat kajian mengenai Tahaluf Siyasi dalam Ekonomi Politik Islam: Satu Kajian Teoretis.
Siswazah lain yang bergraduasi pada upacara Konvokesyen kali ini adalah Dr. Farid Wajdi, Dr. Mohamad Helmi Hidthiir, Dr. Mulia Saputra, Dr. Radieah Mohd Nor, Dr. Razali Othman, Dr. Raziah Md Tahir, Dr. Shahir Akram Hassan, Dr. Wan Anisah Endut, Dr. Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin dan Dr. Wan Norhaniza Wan Hasan. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1279