USM, MHB JALIN KERJASAMA DALAM TEKNOLOGI PEMBUATAN KERTAS
PULAU PINANG, November 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Muda Holdings Berhad (MHB) baru-baru ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) untuk meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan bersama dalam bidang teknologi pembuatan kertas.
Hadir menandatangani MoA itu bagi pihak USM ialah Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman manakala MHB diwakili oleh Pengarah Urusannya Dato’ Azaman Abu Bakar.
Omar berkata, MoA tersebut diharapkan dapat memudahkan kerjasama antara Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), terutamanya Bahagian Teknologi Biosumber, Kertas dan Penglitup dalam bidang berkaitan sekaligus mengeratkan hubungan antara universiti dan industri demi membangunkan sektor pembuatan kertas di negara ini.
“Selain itu, kerjasama ini juga bertujuan bagi mengenal pasti projek-projek penyelidikan pembuatan kertas dan perkhidmatan masyarakat yang dapat dilaksanakan bersama oleh USM dan MHB untuk kepentingan bersama,” kata beliau.
Tambah Omar, pelaksanaan projek-projek libatsama universiti-industri seperti ini pastinya akan dapat meningkatkan lagi tahap prestasi PPTI, selaras dengan wawasan PPTI untuk menjadi sebuah “Pusat Bertaraf Dunia dalam Inovasi Teknologi untuk Kelestarian Hari Esok”.
Dalam majlis yang sama, USM juga menerima peruntukan berjumlah RM300,000 daripada MHB untuk kerja menaik taraf makmal pembuatan kertas sedia ada termasuk pembelian alatan yang diperlukan, dan apabila siap nanti makmal itu akan dikenali sebagai Makmal Kerjasama USM-MUDA (USM-MUDA Joint Laboratory). ‘Mock cheque’ disampaikan kepada Omar oleh Azaman.
Kata Omar, pihak USM amat berterima kasih kepada MHB atas sumbangan ini kerana ia amat bermakna kepada USM secara umum dan PPTI secara khususnya kerana makmal itu dijangka dapat menempatkan lebih ramai pelajar pasca siswazah untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang penghasilan kertas.
Sementara itu, Azaman berkata, pihaknya amat berbangga dan berbesar hati kerana MHB, melalui anak syarikatnya, Muda Paper Mills Sdn Bhd (MPMSB) telah diberi peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan USM khususnya dalam membangunkan makmal pembuatan kertas tersebut.
“Di samping itu, melalui MoA yang ditandatangani ini, diharap dapat memberi peluang kepada pelajar PPTI USM untuk menjalani latihan praktikal atau latihan industri di kilang-kilang MHB selepas ini selain berkongsi kemudahan makmal serta kepakaran tenaga pengajar dan penyelidik antara kedua-dua pihak,” kata beliau.
Upacara pemotongan kek jubli emas juga telah diadakan sebagai simbolik bagi meraikan Konvokesyen ke-50 USM dan ulang tahun ke-50 penubuhan kilang kertas MPMSB di Tasek, Ipoh, Perak.
Hadir bersama dalam majlis ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Pengarah Eksekutif MHB dan Pengarah Urusan MPMSB, Dato’ Lim Wan Peng; Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa; Pengurus Besar MHB serta Timbalan-timbalan Dekan dan Pengerusi-pengerusi Rancangan PPTI. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1451