PELAJAR ANTARABANGSA JOHAN PERTANDINGAN TARIAN KEBUDAYAAN
PULAU PINANG, 11 November 2014 - Sekumpulan 14 orang pelajar antarabangsa di bawah Program Pertukaran Pelajar telah berjaya mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) setelah dinobatkan menjadi Johan dalam pertandingan tarian 1 World Culture Festival bertemakan A Celebration of Dance di Universiti Nilai, Negeri Sembilan Sabtu lalu.
“Kejayaan manis ini telah mengubati segala penat lelah pelajar yang komited dalam latihan dan pencapaian ini amat membanggakan warga USM terutamanya seluruh kakitangan Pejabat Antarabangsa dan USM Buddies yang bertindak sebagai tulang belakang dalam menguruskan pasukan ini,” kata Penyelaras Program Mobiliti Pelajar merangkap ketua pasukan USM, Dr. Mohd Hafizal Mohd Isa.
“USM memenangi pertandingan ini adalah buat kali kedua setelah enam tahun penganjuran pertandingan ini. Sebelum ini USM pernah merangkul anugerah tempat ketiga ketika penganjuran tahun 2009,” tambah Mohd Hafizal.
Kumpulan yang terdiri daripada 14 pelajar dari negara Jerman, Finland, Switzerland, Sweden, China dan Korea ini, telah berjaya mengalahkan 13 institusi pengajian tinggi lain dan merangkul hadiah wang tunai berjumlah RM 1500, trofi dan sijil penghargaan. Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknologi Petronas (RM 1000, trofi dan sijil) manakala Universiti Putra Malaysia telah berjaya mendapat tempat ketiga (RM 500, trofi dan sijil). UiTM telah merangkul anugerah khas juri dan UniMAP berjaya merangkul anugerah kostum terbaik.
USM juga berbangga Pegawai Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar yang juga pereka tari bagi kumpulan tersebut, Mohamad Al-Hafiz Md. Sani kerana dianugerahkan Best Choreographer.
“Idea beliau menggabungkan seni tari Wau Bulan dalam persembahan tarian negara Tibet yang membawa mesej keamanan dan kedamaian mendapat pujian ketua juri yang juga Presiden Malaysian Performing Arts Society Ravi Shanker Rama Murthy,” ujar Mohd Hafizal.
Hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia, Ibrahim Ali dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Nilai Michael Yei.
Upacara penutup telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Nilai, Profesor Datuk Dr. Megat Burhainuddin. - Teks dan foto sumbangan Pejabat Antarabangsa.
- Created on .
- Hits: 1401