KERJASAMA GEOGRAFI: USM, UNIVERSITI BANGLADESH TANDATANGANI MOU
PULAU PINANG, 12 November 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan University of Rajshahi (UR), Bangladesh baru-baru ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam bidang kajian geografi dan alam sekitar.
MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan profesor dari Jabatan Pengajian Geografi dan Alam Sekitar UR Profesor Dr. Md Zahidul Hassan yang mewakili Naib Canselor UR.
Menurut Omar, kerjasama penyelidikan saintifik dan pendidikan tersebut akan tertumpu kepada perkongsian kepakaran antara kedua-dua institusi dalam pengurusan alam sekitar, sumber semula jadi, bencana alam serta perubahan iklim dan cuaca.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama untuk membangunkan sistem maklumat geografi (GIS) serta menjalankan kajian membabitkan geografi sosial atau manusia, demografi, budaya dan gender masyarakat setempat.
“Memandangkan terdapat banyak persamaan geografi, sumber alam dan iklim antara Malaysia dan Bangladesh, saya percaya jalinan kerjasama ini akan mendatangkan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak,” kata beliau.
Sementara itu, Md. Zahidul juga mengalu-alukan kerjasama ini dan berharap melalui MoU tersebut, lebih ramai ahli fakulti dari jabatannya dan juga Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM akan dapat mengenalpasti projek-projek penyelidikan dalam bidang berkaitan yang dapat dijalankan bersama dalam masa terdekat ini.
University of Rajshahi (UR) ditubuhkan pada tahun 1953 merupakan universiti yang kedua terbesar di Bangladesh.
Antara yang turut hadir dalam majlis ialah Dekan PPIK USM Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan) PPIK Profesor Dr. Chan Ngai Weng, pensyarah dari UR Profesor Madya Md. Mizanoor Rahman dan Profesor Madya Dr. Md. Rejaur Rahman yang sedang melanjutkan pengajian pascakedoktoran (postdoctoral) di USM. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1151