USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA BERFOKUS BANGUNKAN KEKUATAN DIRI – PRO-CANSELOR

IMG 1356

PULAU PINANG, 12 November 2014 – Graduan Universiti Sains Malaysia (USM) disaran menetapkan fokus yang jitu untuk membangunkan kekuatan diri bagi mencapai kejayaan yang diinginkan dalam setiap perkara yang dilakukan.

Demikian kata Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur ketika berucap di hadapan sejumlah 630 graduan dalam sidang kedua Upacara Konvokesyen ke-50 USM di sini baru-baru ini.

IMG 1381

Katanya, graduan juga dinasihatkan supaya tidak lupa asal usul, di mana berpijak dan dari mana asal mereka, tidak juga melupakan jasa ibu bapa dan negara yang telah memberikan segala-galanya kepada mereka untuk menggenggam kejayaan.

``Sentiasalah berterima kasih dan menghargai apa yang diperolehi selama ini terutamanya ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong kita. Bayangkan wajah ibu bapa dan jangan sesekali lupakan mereka.

``Hargai tanah air kita ini dan jangan sesekali merosakkannya hanya untuk kepentingan peribadi dan kelompok sendiri. Jagalah dengan baik demi untuk kelangsungan masa hadapan. Inilah yang sewajarnya saudara-saaudari perolehi dari kampus USM ini, kampus sejahtera, kampus yang mementingkan kelestarian dan kampus mengajar erti kematangan,’’ ujar beliau.

IMG 1420

Dalam beberapa sidang lagi yang dipengerusikan oleh beliau, Mustafa juga turut menggesa anak muda supaya kembali kepada fitrah, berkasih sayang dan berkomunikasi secara bersemuka.

Katanya, berinteraksi dan bergaul, bersukan dan berekreasi, berbincang dan mewujudkan kemesraan jiran tetangga dan sebagainya perlu diperkukuhkan memandangkan dunia hari ini disifatkan semakin meninggalkan nilai-nilai murni tersebut.

``Teknologi dan media sosial mendekatkan kita dalam keadaan virtual atau maya, tetapi menjauhkan kita dalam keadaan sebenar. Anak-anak malah kita sendiri leka berkomunikasi melalui kecanggihan telefon pintar dan internet sehingga makin lupa untuk berinteraksi secara bersemuka.

IMG 2118

``Di meja makan, menziarah saudara-mara di katil hospital, berziarah semasa perayaan dan pebagai situasi lagi, kita melihat kelekaan kepada telefon pintar dan media sosial. Kita lihat penyakit-penyakit sosial dan mental semakin hari semakin bertambah,’’ katanya.

Justeru, beliau mengingatkan anak muda atau generasi pada hari ini supaya sentiasa berdamping dengan ibu bapa dan keluarga serta mereka dan menjadikan mereka yang selama ini menjadi kekuatan kepada kelangsungan hidup kita.

``Graduan juga perlu sentiasa menjaga silaturrahim dan saling menyayangi tanpa mengira perbezaan yang ada sama ada warna kulit, kaum, agama, bangsa, budaya dan sebagainya.

``Sebaliknya kita hargai kepelbagaian dalam memupuk kasih sayang dan mencapai kejayaan dengan berani, yakin dan komitmen yang tinggi,’’ ujar beliau yang juga alumni USM.

IMG 2065

Dalam pada itu, sehingga kini, USM secara keseluruhan mempunyai kira-kira 144,266 orang alumni termasuk hampir 22,000 orang siswazah ijazah tinggi. Pada tahun 2014 ini sahaja USM telah mengeluarkan seramai 6,563 orang siswazah termasuk pada Upacara Konvokesyen Ke-49 April lalu.

Pada upacara konvokesyen kali ini juga, USM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Sultan Brunei, Kebawah D.Y.M.M. Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.

Dua lagi tokoh kebanggaan negara, Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad USM turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan manakala Dato’ Jamjan Rajikan, Mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pembangunan USM dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1149

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024