ELLTA 2014 SELARAS MOTO USM ‘KAMI MEMIMPIN’
PULAU PINANG, 17 November 2014 – “Penganjuran ELLTA 2014 adalah selaras dengan moto USM iaitu Kami Memimpin dan platform ini adalah bagi mengumpul seberapa ramai pemimpin hebat dan juga para penyelidik dalam bidang pembelajaran dan pengajaran,” ujar Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas ketika berucap merasmikan 3rd International Conference on Leadership & Learning in the Asian Century (ELLTA 2014).
“Di Asia, kita mempunyai ramai pemimpin hebat seperti Mahathir Mohamed, Mahatma Gandhi dan juga Lee Kuan Yew. Namun begitu, dengan laluan yang ditunjukkan oleh mereka inilah pemimpin masa depan dapat menjadikan negara kita dan seterusnya dunia lebih hebat.
“Sebagai sebuah Universiti APEX tunggal di Malaysia, USM akan merancang dan merangka senario masa depan bagi mewujudkan kepimpinan dalam pelbagai bidang di dalam dan luar negara berdasarkan moto ‘Kami Memimpin’,” ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman.
“USM akan terus mengemudi serta menunjukkan arah yang betul dan benar kepada generasi muda bagi memastikan kerangka yang di rancang akan dapat dilaksanakan serta memberikan impak kepada masyarakat dan juga negara,” tambah Naib Canselor yang juga menyampaikan ucaptama bertajuk Steering A University –Trying to do the Right Thing Right.
Tun Abdul Rahman turut melancarkan Reading Evaluation and Decoding System (READS) yang mana dibangunkan oleh para penyelidik Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM yang berupaya menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah selaras dengan usaha untuk menaiktaraf kualiti pendidikan negara ke tahap tertinggi.
Menurut penyelidik yang membangunkan READS, Profesor Madya Dr Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail, READS ini telah diperkenalkan ke 20 buah sekolah sekitar Pulau Pinang untuk mendapatkan maklum balas daripada para pengguna mengenai keberkesanan penggunaanya.
“Keseluruhan, dengan bantuan READS para guru dan juga pengetua sekolah dapat memantau pretasi para pelajar dalam menilai tahap seseorang pelajar itu dalam membaca karya Bahasa Inggeris,” tambah Shaik Abdul Malik mewakili dua rakan penyelidik READS iaitu Dekan PPIP, Profesor Dato’ Dr Abdul Rashid Mohamed dan juga pensyarah, Dr. Lin Siew Eng.
Turut hadir dan akan menyampaikan ucaptama ialah Penaung ELLTA yang juga Timbalan Naib Canselor INTI-Laureate International Universities, Professor Dato’ Ibrahim Ahmed Bajunid.
ELLTA 2014 telah disertai oleh lebih 300 orang peserta daripada lebih 60 buah negara dan diharap melalui ELLTA 2014 pelbagai kesepakatan dalam bidang pembelajaran dan pengajaran dapat dicapai bagi kemajuan negara dan juga dunia. Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1575