USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA –MAHDZIR KHALID

DSC 9314

PULAU PINANG, 15 November 2014 – "Di sini Lahirnya Sebuah Cinta," demikian kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato' Seri Mahdzir Khalid ketika berucap pada Majlis Balik Kampus Alumni '80 dan '84 Universiti Sains Malaysia (USM).

Mahdzir mengakui perasaan ketika menjejakkan kaki dalam kawasan USM pada hari ini masih sama seperti ketika menjejak kaki sebagai seorang pelajar USM 30 tahun.

“Pada masa itu, perasaan saya adalah sama dengan anak muda yang penuh dengan semangat dan segar dengan kecintaan,” tambah Mahdzir ketika mengimbas kenangan semasa di USM.

Menjawat jawatan tinggi di kementerian, tidak menjadikan alumni Sastera Dengan Pendidikan ini lupa pada USM malah beliau berbesar hati dapat berjumpa semula dengan sahabat-sahabat lamanya.

“Saya berharap perjumpaan semula alumni USM akan diadakan selalu dengan sasaran yang lebih besar pada masa akan datang. 

"Berpuluh tahun tidak bertemu, sesuatu yang amat bermakna dan menyenangkan apabila dapat duduk bersama-sama bersembang sambil berkongsi dan mengemaskini status diri dan keluarga masing-masing," tambah Mahdzir yang terpaksa menangguhkan perjalanan rasmi beliau ke Dubai untuk menghadiri perjumpaan ini.

Alumni tahun 1984 ini bukan sahaja senang berkongsi gelak tawa beliau sepanjang bergelar pelajar suatu masa dahulu, malah beliau juga memandang tinggi kepada USM sebagai sebuah institusi yang telah menjadikan beliau seorang yang berjaya seperti hari ini.

“Jika ditanya mengenai kenangan manis, saya katakan berkumpul beramai-ramai bersama rakan-rakan di Padang Minden bagi menyaksikan perlawanan bola sepak adalah yang terindah.

"Berani saya katakan, empat tahun di USM telah mengajar kami alumni dalam menjadi orang yang boleh bergaul dan berada dalam masyarakat kita pada hari ini," ujar beliau dengan rasa penuh syukur dan bangga.

"Saya juga sangat mengagumi USM yang telah melahirkan manusiahebat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia," tambah Mahdzir yang sedia menyumbang dan berbakti kepada USM.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pengarah Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni USM atas jasa beliau membantu dan memberi peluang kepada kami alumni tahun ‘80 dan ‘84 untuk mengadakan perjumpaan berharga seperti hari ini," ujar Mahdzir mengakhiri perbualan. Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Yong Check Yoon. 

  • Created on .
  • Hits: 1062

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024