USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

POKOK GAHARU HIJAUKAN KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 8847

NIBONG TEBAL, 15 November 2014 – Penanaman 1,000 batang pokok gaharu di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Hari Warga Staf menandakan bermulanya projek bumi hijau di sini.

"Adalah menjadi  hasrat universiti untuk mengisi ruang kosong yang tidak digunakan dalam kawasan Kampus Kejuruteraan dengan penanaman pokok gaharu menggantikan pokok kelapa sawit yang sedia ada tanpa menganggu zon yang telah mempunyai plan infra masa hadapan,” ujar Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak.

Program penanaman pokok gaharu itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr. Adnan Hussein bagi pihak Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr Omar Osman. 

Adnan dan pegawai-pegawai utama universiti diberi penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Palmabrand Exclusive Sdn. Bhd. (PESB), Mohamad Nor Sahak mengenai teknik penanaman pokok gaharu yang juga dikenali sebagai karas dan potensinya dari sudut komersial yang belum begitu dimanfaatkan sebelum ini.

Menurut Mohamad Nor, pihaknya telah mendapat pengiktirafan Lembaga Kayu Malaysia sebagai syarikat yang berpotensi melonjakkan industri gaharu menjadi industri terkemuka pada pada masa hadapan sekaligus memberi peluang yang luas kepada USM untuk menerokai satu bidang baru dalam penyelidikan berdaya maju dan mampu memberikan impak yang besar.

“Saya yakin Kampus Kejuruteraan USM turut berupaya dijadikan sebagai hub penyelidikan dan penyebaran maklumat melalui seminar yang utama untuk tanaman gaharu di Zon Utara tanahair ini,” ujar Mohamad Nor. 

DSC 8812

“Ini memberikan peluang yang amat baik kepada USM untuk membuka jaringan masyarakat yang luas dengan penduduk dan industri,” tambahnya lagi.

Kampus Kejuruteraan akan memperoleh pendapatan sampingan pada masa hadapan daripada projek ini bagi menampung keperluan pelbagai aktiviti pelajar, staf dan juga pembangunan sukan. Dengan kos pelaburan sekitar 20% daripada jumlah kos keseluruhan operasi pihak USM akan memperolehi anggaran pendapatan melebihi RM2 juta.

Projek ini dikatakan mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat sekitar Kampus Kejuruteraan di Daerah Nibong Tebal Pulau Pinang, Daerah Parit Buntar Perak dan juga Daerah Bandar Baharu Kedah   

Penanaman pokok gaharu bagi peringkat pertama ini turut mendapat kerjasama dari Koperasi KKSSK Pulau Pinang Berhad yang beroperasi di Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.

Hadir sama dalam program menanam pokok gaharu ialah  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhammad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed serta pegawai-pegawai utama universiti. Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli. 

  • Created on .
  • Hits: 1353

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024