USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIPIT HUTAN JUARA KESELURUHAN HWS 2014

DSC 0115

NIBONG TEBAL, 17 November 2014 – Kontinjen Pipit Hutan daripada Kampus Kejuruteraan muncul sebagai juara keseluruhan Hari Warga Staf (HWS) Universiti Sains Malaysia (USM) 2014 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Ketua Kontinjen, Profesor Dr. Mohd Zaid Abdullah memberitahu, ini merupakan kejuaraan untuk semua warga Kampus Kejuruteraan selaku tuan rumah yang telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga memperolehi kemenangan besar dalam semua acara yang dipertandingkan.

Daripada lapan kategori yang dipertandingkan, Kontinjen Pipit Hutan telah mendapat tempat pertama dalam acara le tour de campus, explorace, khemah terbaik dan masterchef.

Dalam persaingan melibatkan 7 kontinjen itu, tempat kedua disandang oleh Kontinjen Pekaka Udang dari Kampus Kesihatan manakala ditempat ketiga oleh Kontinjen Tampung Bajau dari Kampus Induk.

DSC 0106

Kemenangan itu membolehkan Kontinjen Pipit Hutan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,000 dan tempat kedua RM750.00 manakala tempat ketiga RM500.00.

Program selama satu hari itu telah menarik penyertaan lebih 800 peserta termasuk 120 atlet tuan rumah.

Perasmian HWS yang melibatkan persembahan daripada kumpulan Multirotor Kita dan 32 Kadet PAPALES Udara itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr. Adnan Hussein.

Majlis penutup HWS itu berlangsung meriah dengan majlis makan malam dan pertandingan persembahan oleh setiap kontinjen termasuk tarian zapin daripada mahasiswa Kampus Kejuruteraan.

Makan malam turut menjadi meriah dengan gandingan kombinasi pengacara majlis jemputan yang juga merupakan pelakon/pelawak terkenal Sulaiman Md Yasin atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Over bersama Pegawai Kebudayaan USM, Mohd Nur Badri Mohd Nazli.

DSC 0042

Naib Canselor USM, Professor Dato’ Dr. Omar Osman melahirkan rasa gembira dengan penganjuran HWS 2014 tersebut dan berharap program ini dapat menyuburkan rasa kecintaan seluruh warga universiti kepada institusi kerana ia amat bersesuaian dengan pemilihan tema Hari Warga Staf pada tahun ini iaitu “SAYA SAYANG USM”.

“Saya percaya bahawa hubungan akrab yang terjalin erat antara semua warga kerja dan penglibatan staf dalam setiap acara dapat mewujudkan suasana harmoni seterusnya akan memudahkan pelaksanaan program atau aktiviti ke arah membangunkan universiti yang kita cintai ini,” katanya dalam ucapan ringkas semasa Majlis Makan Malam.

Beliau turut mengumumkan bahawa Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) akan mengambil alih tanggungjawab selaku tuan rumah HWS bagi tahun 2015.

Buat pertama kalinya Ketua Pegawai Farmasi, Mejar Md. Hisham Abdul Razak selaku wakil Pengarah IPPT dengan rasminya telah menerima piala tuan rumah dan bendera HWS sebagai simbolik penyerahan watikah.

Sementara itu, 80 daripada lebih 700 staf USM yang memenuhi Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan pada malam itu telah berjaya membawa pulang hadiah cabutan bertuah masing-masing.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhammad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Profesor Dr. Adnan Hussein, Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Pendaftar, Puan Siti Zubaidah A. Hamid serta pegawai-pegawai utama universiti. Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli & Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1213

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024