PEMIMPIN PELAJAR USM HARUS BERMINDA GLOBAL - NC
PULAU PINANG, 19 NOVEMBER 2014 - “Untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya, pemimpin pelajar harus berminda global termasuklah merekayasakan pemikiran berteraskan nilai-nilai global agar mampu menjadi sebahagian dari warga dunia untuk membangunkan ilmu dan negara keseluruhannya”
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman berkata, sudah tiba masanya pemimpin pelajar USM tidak lagi memikirkan perkara-perkara remeh untuk dibincang dan diselesaikan, keluar dari set minda sedia ada dan gerakkan diri kepada pencetusan idea merangkumi isu-isu global.
Omar Osman ketika berucap di hadapan kira-kira 500 orang barisan kepimpinan pelajar USM baru-baru ini, berharap pelajar masa kini tidak sepatutnya berada di takuk lama dan USM bersedia memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjadi seorang yang berpemikiran global.
“Barisan pengurusan tertinggi USM sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelbagai aktiviti intelektual dengan prinsip pengetahuan dan idea, jadi perkara ini hendaklah dimanfaatkan kepada masyarakat sebagai agenda pembangunan pelajar selaras misi dan visi USM sebagai Universiti Penyelidikan dan APEX,” katanya sebelum sesi soal jawab bersama kepimpinan pelajar USM di Dewan Utama Desasiswa (DUD), USM.
Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM, Prof. Dr. Adnan Hussein, Mohamad Shafiq Kamaruddin, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, serta para pegawai utama universiti.
Tambah beliau lagi, USM sentiasa memberikan kebebasan dan autonomi dalam menyuarakan idea dan pendapat, tetapi usahlah terpesong daripada nilai-nilai ilmu, fakta dan data yang harus kita pegang dan hormati.
“Pemimpin pelajar sekiranya selepas ini berada di dalam masyarakat kelak perlulah mementingkan kebijaksanaan atau wisdom dalam mengambil tindakan ataupun melakukan sesuatu perkara, apatah lagi jika menyentuh kepentingan masyarakat umum yang lebih besar”
Pada masa yang sama Naib Canselor turut membentangkan beberapa perkara mengenai hala tuju universiti APEX dan beberapa kejayaan USM dalam merangkul gelaran dunia, selaras dengan apa yang diharapkan oleh universiti kepada kepimpinan pelajar bertajuk “Student Empowerment Towards Building Global Mindset Citizen”
Pada akhir kata Omar Osman berharap kejayaan yang dimiliki oleh pelajar-pelajar USM sehingga hari ini diharap berterusan bukan sahaja di peringkat kebangsaan, bahkan lebih kepada peringkat dunia.
Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab di antara Naib Canselor dan pelajar serta majlis makan malam barisan kepimpinan pelajar USM bersama pegawai-pegawai utama universiti. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1092