KOLEKSI TERJEMAHAN CINA-MELAYU-CINA PERKAYAKAN KHAZANAH KEPUSTAKAAN MELAYU
PULAU PINANG, 18 November 2014 - Koleksi khas Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) Universiti Sains Malaysia (USM) telah diperkaya apabila PHS menerima sejumlah 25 judul naskhah Koleksi Terjemahan Cina-Melayu-Cina yang sebilangan besarnya terbitan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF).
Koleksi terjemahan itu telah diserahkan bersama oleh pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM Dr. Goh Sang Seong dan Naib Presiden PERSPEKTIF Encik Lim Chuan Boon kepada Timbalan Ketua Pustakawan PHS USM Encik Ali Abd Rahim.
Berucap di majlis serba ringkas tetapi penuh bermakna itu kelmarin, Goh berkata, sumbangan koleksi terjemahan itu diharap dapat memperkayakan khazanah kepustakaan Melayu selain menyahut agenda pemindahan dan perkongsian ilmu serta matlamat pengantarabangsaan USM melalui usaha penterjemahan.
“Saya amat berharap koleksi ini dapat dijadikan rujukan oleh para pensyarah, pelajar dan penyelidik untuk pengajian penterjemahan Cina-Melayu-Cina di samping dijadikan korpus bagi penyelidikan analisis perbandingan antara bahasa Cina dan bahasa Melayu,” kata Goh yang berpengkhususan dalam bidang pengajian terjemahan bahasa Cina-bahasa Melayu.
Goh turut mencadangkan kepada pihak PHS agar dapat menyediakan satu ruangan atau sudut khas untuk memperagakan buku-buku tersebut agar mudah dicapai bukan sahaja oleh penyelidik dari USM malah dari luar USM yang datang membuat penyelidikan.
Pada hari yang sama, di sebelah pagi, buku karya Goh bertajuk ‘Koleksi Peribahasa China Terindah’ telah dilancarkan di majlis pelancaran buku Penerbit USM 2014 oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. Goh juga dijemput untuk berkongsi pengalaman beliau mengumpul koleksi peribahasa China untuk dibukukan serta makna peribahasa yang terkandung dalam buku tersebut.
Sementara itu, Lim pula menyifatkan koleksi terjemahan itu sesuai dijadikan bahan perantara untuk mengeratkan persefahaman dan silaturahim antara dua masyarakat yang berbeza bahasa dan sosio budayanya.
“Saya amat berbesar hati kerana PERSPEKTIF dapat menyumbang kepada koleksi karya sastera Cina-Melayu-Cina yang sedia ada di perpustakaan USM, dan berjanji akan terus memperkayakan koleksi tersebut dari semasa ke semasa,” kata beliau.
PERSPEKTIF ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 29 Januari 1986 bermatlamat untuk meningkatkan persefahaman antara masyarakat melalui karya sastera Cina-Melayu, merancakkan usaha penterjemahan dan penulisan kreatif demi mendarjatkan pencapaian sastera Malaysia serta bertindak sebagai perantara bagi penterjemah dan penulis untuk perkembangan sastera peringkat antarabangsa.
Sejak penubuhannya, PERSPEKTIF telah giat menjalankan penterjemahan bahasa Cina-Melayu-Cina dan sehingga kini berjaya menghasilkan 30 buah judul antologi penulisan kreatif dan karya sastera.
Koleksi Terjemahan Cina-Melayu-Cina yang diserahkan itu terbahagi kepada tiga kategori:
KARYA TERJEMAHAN MELAYU-CINA (diterbitkan di Negara China) - disumbangkan oleh Dr. Goh Sang Seong
- Antologi Cerpen Melayu
- Sejarah Melayu
- Antologi Cerpen Malaysia-Indonesia
- Koleksi Cerita Rakyat
- Antologi Cerpenis Melayu Wanita
- Hikayat Hang Tuah
- Salina (Novel)
- Sejarah Melayu:Terjemahan dan Kajian
KARYA TERJEMAHAN CINA-MELAYU (diterbitkan secara usahasama oleh PERSPEKTIF dan Dewan Bahasa & Pustaka) - disumbangkan oleh PERSPEKTIF
1. Hikayat Pinggir Air
2. Hikayat Tiga Negara
3. Keluarga (Novel)
4. Pilihan Cerita Aneh Dari Balai Pustaka Liao Zai
5. Mala Adan (Antologi Cerpen)
6. Rakyat Shani (Antologi Cerpen)
7. Angkatan Ini (Antologi Cerpen)
8. Gadis Dalam Gambar (Antologi Cerpen)
9. Dalam Hujan Renyai (Antologi Cerpen)
10.Impian Di Pelabuhan (Antologi Cerpen)
11.Roda Ajaib (Koleksi Cerita Kanak-Kanak)
12. Kuda Emas (Koleksi Cerita Kanak-Kanak)
13.Nuansa (Koleksi Puisi)
KARYA TERJEMAHAN MELAYU-CINA (diterbitkan secara usahasama oleh PERSPEKTIF dan Dewan Bahasa & Pustaka) - disumbangkan oleh PERSPEKTIF
1. Novel
2. Antologi Cerpen
3. Koleksi Puisi
4. Cerita
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2038