USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SFCF BANTU GRADUAN TEROKA PELUANG KERJAYA

DSC 0131

PULAU PINANG, 21 Nov 2014 - Sector Focused Career Fair (SFCF) 2014, yang memfokuskan kepada bidang kejuruteraan disifatkan sebagai satu platform terbaik untuk para graduan meneroka peluang kerjaya yang bersesuaian dengan kebolehan masing-masing.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, SFCF adalah antara bentuk kerjasama erat di antara USM dengan pihak industri yang dijalankan dengan mengambil pendekatan lebih terperinci untuk kerjaya masa depan lepasan universiti.

DSC 0138

Katanya, kolaborasi dengan agensi yang terlibat seperti Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) juga dilihat sebagai satu wadah yang dapat menyuntik manfaat buat graduan khususnya dalam membantu mereka mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelayakan yang dimiliki.

``Kita mempunyai pelbagai program yang sememangnya relevan dengan industri. Justeru, SFCF dilihat sebagai satu platform yang cukup baik untuk kerjaya masa depan pelajar bersama industri,’’ ujarnya.

DSC 0180

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian SFCF 2014 oleh Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Industry Talent Management Division, Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Mohamad Ismail Abu Bakar dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak.

Omar juga berkata, kerjasama erat antara USM, TalentCorp dan MIDA juga diharap akan dapat membuahkan lebih banyak program-program khusus yang memberi peluang untuk peningkatan kerjaya dan memberi nilai tambah terhadap kebolehpasaran graduan pada masa kini.

DSC 0194

Dalam pada itu, Johan pula menegaskan, penganjuran SFCF berperanan bagi memastikan graduan mendapat pendedahan sebaiknya kepada peluang kerjaya terutamanya di sektor-sektor utama dalam industri di negara ini.

``Kita komited untuk membantu menggerakkan industri, selain membantu memberi jaminan graduan di Malaysia mendapat kerjaya yang berpendapatan tinggi, yang bersesuaian dengan kebolehan dan kemahiran yang mereka miliki.

DSC 0168

``Kerajaan memang memberi galakan sepenuhnya ke arah membantu kebolehpasaran graduan melalui agenda-agenda yang dirangka termasuk menggalakkan mereka (graduan) menceburi bidang penyelidikan dan pembangunan (RnD),’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, program sehari yang disertai ribuan pengunjung itu turut menyediakan  pelbagai acara termasuk Internship Market Day (IMD), bicara kopi, forum, dialog, temuduga pantas dan pelbagai lagi yang membuka minda pengunjung untuk menjejakkan kaki ke lapangan karier setelah menamatkan pengajian kelak. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1247

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024