MOU PPKT USM-SG EDUCATION GROUP: PERKUKUH KERJASAMA DALAM PENDIDIKAN BERTERUSAN
PULAU PINANG, November 2014 - Kerjasama antara Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Universiti Sains Malaysia (USM) dan SG Education Group (SGEG) yang sudah terjalin sejak tahun 2006 dalam pembangunan Program Pendidikan Berterusan (PPB) diperkukuhkan lagi melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di sini baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, MoU tersebut membolehkan PPKT USM untuk terus bekerjasama dengan SGEG untuk dua tahun lagi dalam mengendalikan bersama PPB yang menawarkan kursus-kursus IT/ICT peringkat sijil kemahiran dan diploma di Pusat Latihan Komputer (PLK) bertauliah milik SGEG.
“Saya berbangga atas sumbangan PPKT kerana peserta-peserta yang mengikuti program ini diberi kuliah dan latihan praktikal berdasarkan modul dan silibus yang disediakan oleh PPKT, dan secara automatik akan mendapat sijil kemahiran PPKT USM sebagai pensijilan tambah nilai kepada Diploma Kemahiran Malaysia setelah tamat belajar.
“Ini pastinya akan dapat menambah daya potensi diri peserta dalam kemahiran IT/ICT di samping mempertingkatkan lagi kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja mereka apabila tamat pengajian kelak,” kata Omar ketika berucap pada majlis penandatanganan MoU tersebut.
Melalui kerjasama ini, beliau juga berharap pihak PPKT USM dapat memperluaskan lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam bidang IT/ICT kepada mereka yang berhasrat mendalami ilmu dalam bidang tersebut tetapi tidak berpeluang menjadi pelajar sepenuh masa di USM.
Omar menandatangani MoU bagi pihak USM manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SGEG Dato’ Sri Ganes menandatangani bagi pihak SGEG, dan disaksikan oleh Pengerusi Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia atau Malaysian Community Crime Care (MCCC) yang juga mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Sementara itu, Sri Ganes menyifatkan ikatan kerjasama dengan USM itu amat bermakna bagi SGEG kerana diberi kepercayaan dan mandat oleh pihak USM untuk mengendalikan PPB dalam bidang IT/ICT di dua buah pusat latihan komputernya iaitu SG Akademi di Kuala Lumpur dan Informatic Academy di Seremban.
“Dengan adanya pensijilan tambahan dari pihak PPKT USM ini sedikit sebanyak dapat memberikan semangat kepada para pelatih yang rata-ratanya dari golongan remaja dan lepasan sekolah yang kurang berjaya di dalam persekolahan mereka untuk terus belajar dan memperbaiki diri mereka serta mempertingkatkan keyakinan diri,” tambah Sri Ganes, yang juga pengasas SGEG.
Selain dua PLK milik SGEG itu, USM juga bekerjasama dengan 14 buah lagi PLK di tujuh buah negeri di seluruh negara dalam penawaran kursus-kursus IT/ICT, iaitu 4 buah PLK di Johor, 3 di Sarawak, 2 di Melaka, 2 di Pulau Pinang, dan satu masing-masing di Kedah, Perak dan Selangor.
Hadir sama dalam majlis ialah Ketua Pegawai Maklumat (CIO) PPKT Encik Zulham Hamdan serta pegawai-pegawai utama USM dan SGEG. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
Created on .
Hits: 1397
Pusat Media dan Perhubungan Awam Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | Web : www.usm.my