USM TERUS BANTU OKU
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 November 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), terkini melalui kerjasama rapat dengan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD) Thailand.
Berucap merasmikan Program Modifikasi Khas Dan Penyerahan Kerusi Roda USM-RICD dan Majlis Graduasi Program Latihan Pekerjaan (VT) OKU Intelek Kumpulan Ke-2 2013/2014 Kampus Kesihatan USM, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) USM, Profesor Dato' Dr. See Ching Mey berkata USM sentiasa mencari alternatif baru termasuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan nasib OKU di Malaysia terbela.
USM menjalinkan kerjasama dengan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD) Thailand dan tiga rakan komuniti lain di Malaysia dalam mereka bentuk pengubahsuaian kerusi roda OKU mengikut kesesuaian penggunaannya dengan mereka.
"Melalui kerjasama serta perkongsian ilmu yang ada, diharapkan dapat memberi impak yang positif kepada mereka yang terlibat apatah lagi kepakaran dan kebolehan yang ada di USM mampu menubuhkan pusat rujukan kerusi roda pada masa akan datang," katanya lagi.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan yang model pembelajaran yang diterapkan melalui Program Latihan Pekerjaan (VT) OKU Intelek anjuran Bahagian Sains Rehabilitasi (Cara Kerja), Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, USM adalah amat bersesuaian untuk melatih OKU dalam menghadapi dunia kerjaya.
"Program ini membuktikan OKU boleh dilatih sebagai sumber manusia yang dapat menyumbang kepada produktiviti negara yang dapat membantu dalam mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan OKU," kata See Ching Mey lagi.
Pada majlis tersebut, 5 orang OKU yang menamatkan latihan mereka dalam Program Latihan Pekerjaan (VT) OKU Intelek turut sama diraikan.
Sementara itu, Pengarah RICD Thailand, Dr. Samai Sirithongthaworn menyifatkan kerjasama ini sebagai satu kejayaan bermakna dalam membantu masyarakat OKU di kedua-dua buah negara.
Turut diadakan ialah Upacara Penyerahan Modified Wheelchair kepada 28 orang penerima dan Upacara Penyerahan Memorandum Persefahaman Antara USM Dan Majikan Program Latihan Pekerjaan (VT) OKU Intelek serta pameran inovasi dan modifikasi kerusi roda kepada golongan OKU.
Hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan OKU & Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Roshayati Omar, Ketua Projek Kerusi Roda USM-RICD & Pengerusi Program Latihan Pekerjaan (VT) OKU Intelek, Dr. Mohd. Zulkifli Abdul Rahim, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan USM selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Profesor Madya Dr. Shaharum Shamsuddin, wakil Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kesihatan USM, Muhammad Hanif Abdul Halim, wakil-wakil agensi kerajaan dan korporat serta pegawai-pegawai USM yang lain.
- Created on .
- Hits: 1546