USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CETUS SET MINDA GLOBAL DI DALAM KOKURIKULUM

DSC 0250

PULAU PINANG, 21 NOVEMBER 2014 – Cetusan set minda global melalui elemen yang diserapkan ke dalam kokurikulum mampu memberi impak positif kepada pelajar sekiranya mereka ingin menghuni kelompok kebolehpasaran di alam pekerjaan kelak.

Itu yang ditegaskan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman yang mahukan elemen-elemen set minda global diserap di dalam setiap program kokurikulum yang diadakan di USM.

Katanya, sememangnya kokurikulum memainkan peranan utama dalam membentuk set minda pelajar apabila mereka menempuh alam pekerjaan kelak.

DSC 0276

“Saya inginkan pelajar USM bukan sahaja cemerlang di dalam akademik, bahkan mempunyai kemahiran yang tinggi dan mampu seiring pelajar-pelajar luar negara tergolong di dalam kumpulan kebolehpasaran di dalam dunia pekerjaan.”

Omar ketika berucap di hadapan pelajar yang mewakili badan-badan beruniform di USM berkata, sudah tiba masanya aktiviti-aktiviti yang berkaitan set minda global tanpa perlu pelajar ke luar negara diusahakan bagi membantu meningkatkan kemahiran insaniah.

“Saya menyeru agar setiap pelajar yang mewakili badan beruniform berusaha mendapatkan seberapa banyak rakan-rakan dari luar negara melalui program-program BHEPP mahupun inisiatif sendiri, agar minda anda lebih terbuka bagi berkongsi idea kepakaran dalam isu-isu melibatkan global.

DSC 0298a

“Tidak perlu pun ke luar negara untuk mendidik pemikiran anda menjadi seorang yang berminda global, sekiranya anda berani sahutlah cabaran dengan menarik minat pelajar-pelajar luar negara untuk datang ke Malaysia bersama-sama menjalankan program,” kata beliau.

Pada masa yang sama Naib Canselor turut berkesempatan melawat tapak pameran badan-badan beruniform di ruang legar foyer Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) bersama-sama pegawai utama universiti.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Pusat Rancangan Kokurilum USM, Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman, Pengarah Projek Hari Kokurikulum, Koh Yong Lik dan Pengerusi-Pengerusi Rancangan Kokurikulum.

Selain itu beliau turut menyeru agar setiap pelajar menerapkan semangat kerja berpasukan kerana ia merupakan antara kriteria utama bagi mendapatkan pekerjaan.

DSC 0387

“Setiap organisasi atau majikan masa kini meletakkan kemahiran kerja berpasukan sebagai antara kemahiran penting yang perlu dikuasai oleh bakal pekerja.

“Malah, organisasi masa kini mula memberikan perhatian pada kerja yang dapat dilakukan secara berpasukan untuk bersaing di pasaran global,” tambah beliau.

Naib Canselor berharap objektif program-program sokongan berfokuskan bukan akademik ini bukan sahaja dapat membantu pelajar meningkatkan penguasaan kemahiran, malah membentuk sahsiah dan profesionalisme pelajar itu sendiri. - Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024