PELAJAR USM DUTA KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA
PULAU PINANG, 25 November 2014 - Seramai 130 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dilantik menjadi duta kempen keselamatan jalan raya sempena pelancaran Sekretariat Keselamatan Jalan Raya (SKJR) USM di sini pagi ini.
“Pelajar ini adalah duta kecil dalam mempromosikan kempen keselamatan jalan raya di kalangan masyarakat Malaysia amnya dan warga kampus khasnya,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Dato’ Dr. Tam Weng Wah ketika melancarkan SKJR USM dan juga merasmikan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya USM anjuran bersama JKJR, USM dan juga PETRON Malaysia.
“Pada masa kini, punca utama kematian akibat kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecederaan serius di kepala. Oleh yang demikian, pemupukan mengenai kawalan keselamatan perlu di berikan kepada golongan muda serta penerangan mengenai penggunaan topi keledar yang mengikut piawaian SIRIM,” kata Tam.
“Melalui kempen tersebut, para pelajar akan lebih mengetahui tentang teknik pemanduan dan menunggang motorsikal serta dapat mengaplikasi dan memaklumkan kepada rakan-rakan yang lain,” ujar Pengarah Keselamatan USM Profesor Madya Dr. P. Sundramoorthy mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Profesor Dr Adnan Hussein.
“Program sebegini juga adalah selaras dengan Strategi Lautan Biru (BOS) yang digunapakai oleh USM bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan sejahtera.
“USM juga melalui SKJR akan merancang lebih banyak kempen kesedaran dan keselamatan samada di dalam ataupun di luar kampus,” tambah beliau.
USM adalah institut pengajian tinggi yang ketiga melancarkan SKJR selepas Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan juga Universiti Tun Hussein Onn. Kesemua peserta kempen ini telah diberikan sumbangan topi keledar keselamatan baru, jaket pemantul cahaya, Petron Rider 4T dan 2T dan juga sijil penyertaan.
“Keselamatan jalan raya merupakan salah satu advokasi teras Petron. Kami percaya bahawa untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, kita perlu terus mendidik pengguna jalan raya terutamanya generasi muda,” kata Pengurus Keselamatan Korporat, Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Petron, Lokman Hani.
“Petron yang mempunyai lebih 570 cawangan stesen minyak di seluruh Malaysia akan mula mempromosikan kempen-kempen keselamatan untuk makluman pengunjung,” tambah Lokman.
Program Kempen Keselamatan Jalan Raya USM diselia oleh pihak Polis Diraja Malaysia dan jurulatih professional termasuk latihan praktikal pemanduan asas, pengendalian motorsikal dan etika memandu.
Para peserta kemudian mengikuti perarakan motorsikal bersama dengan tetamu kenamaan yang menggunakan ecovan USM ke Dewan Kuliah U untuk melawat pameran keselamatan jalan raya. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1337