2,000 ORANG DIJANGKA SERTAI PENANG HILL INTERNATIONAL RUN
Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan bersama-sama Sekretariat Alumni Fajar Harapan dan “USM Student Buddies” dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Antarabangsa USM, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang dan Jabatan Taman Botani Pulau Pinang buat pertama kalinya akan menganjurkan Penang Hill International Run pada hari Sabtu, 29 November 2014, mulai jam 8.00 pagi di Taman Botani Pulau Pinang.
Penang Hill International Run dijangka turut disertai oleh para peserta daripada 15 buah negara seperti Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Republik Rakyat China dan Finland.
Larian ini terbahagi kepada empat kategori iaitu Kategori Varsiti (Lelaki), Kategori Varsiti (Wanita), Kategori Sekolah (Lelaki) dan Kategori Sekolah (Wanita). Peserta akan berkumpul dan memulakan larian dari Taman Botani Pulau Pinang hingga ke puncak Bukit Bendera. Acara penutup dan penyampaian hadiah akan dijalankan di puncak.
Acara ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup lestari dalam kalangan siswa-siswi dan pelajar sekolah, mengantarabangsakan penglibatan pelajar serta melahirkan pelajar yang holistik dan seimbang di antara akademik dengan penglibatan mereka di luar kuliah dengan melahirkan pelajar yang holistik dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Menurut pengarah projek, Amirah Hanani Yahaya, penganjuran program ini diharapkan mampu memberi impak dalam mentransformasikan minda para peserta ke arah gaya hidup yang lebih lestari. Kerjasama daripada banyak pihak membuktikan wujudnya kesedaran akan kepentingan memartabatkan gaya hidup lestari seiring dengan perkembangan masa kini.
- Created on .
- Hits: 960