SEMINAR KEHAMILAN DAN PENYUSUAN DAPAT SAMBUTAN HANGAT
PULAU PINANG, 26 November 2014 – Seminar Kehamilan dan Penyusuan anjuran Hal Ehwal Wanita (HELWA) Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) mendapat sambutan yang diluar jangkaan dengan kehadiran lebih 350 orang peserta dari dalam dan luar USM.
Seminar sehari tersebut yang memberikan pelbagai informasi dan perkongsian ilmu mengenai kehamilan dan juga cara penyusuan bayi yang sempurna telah dirasmikan oleh isteri Naib Canselor USM, Datin Noraizan Jamaludin.
Beliau turut berkongsi pengalaman beliau melahirkan enam orang cahaya mata dan juga perbezaan proses kelahiran di Malaysia dan di United Kingdom.
“Dari segi penyusuan bayi, saya melihat sendiri bagaimana anak dan juga menantu saya menguruskan sendiri stok susu yang ada dan mereka mempunyai banyak pengetahuan mengenai cara penyimpanan dan juga pemberian susu ibu kepada bayi,” tambah Noraizan yang sudah mempunyai dua orang cucu perempuan.
Pensyarah Kanan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Zaharah Sulaiman memberikan ceramah bertajuk “Cahaya Mata Syurga Rumahtangga” dan juga “Susu Ibu Mutiara Bonda”.
Beliau secara terperinci berkongsi amalan-amalan yang perlu diamalkan oleh bakal ibu dan juga cara terbaik penyusuan bayi.
“Sebagai ibu, kita perlu menjaga emosi dengan baik bagi membantu pengeluaran susu yang baik serta tidak tertekan jika produksi susu adalah kurang.
“Usahalah bagi memberikan penyusuan susu ibu sekurang-kurangnya dua tahun untuk perkembangan sihat anak-anak,” tambah beliau yang berjaya menyusukan anak bongsu selama lima tahun.
Penceramah lain ialah Timbalan Ketua Jabatan/Unit Pembangunan Insaniah, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman, Ustazah Che Nazrah Yusof dengan tajuk Amalam Berpantang: Antara Hukum dan Adat dan juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Madya Dr. Zuraidah Mohd Yusoff, “ Herba Dalam Berpantang”.
Menurut salah seorang peserta dari agensi kerajaan Pulau Pinang, Rozetawate Yanil, program sebegini sangat bagus untuk bakal-bakal ibu dan juga menambahkan ilmu para ibu sendiri.
“Penganjuran seminar seperti ini harus diadakan lebih kerap pada masa akan datang dengan lebih ramai penceramah yang berkaliber dan juga pakar perbidanan,” tambah beliau.
Seminar ini diadakan buat kali pertama di peringkat USM sempena Sambutan Maal Hijrah 1436 dan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Pusat Islam Ustazah Rohayati Daud dan mantan Pengarah Pusat Sejahtera USM Dr Nurulain Abdullah Bayanuddin. Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1246