CTEF WUJUD RUANG DISKUSI LIBATKAN NEGARA-NEGARA KOMANWEL
PULAU PINANG, 26 Nov. 2014 – Kolaborasi bersama rakan strategik dari negara-negara Komanwel disifatkan sebagai antara inisiatif yang dapat memacu pembangunan pendidikan negara ke tahap tertinggi seiring dengan negara-negara maju.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail berkata, selaras dengan hasrat tersebut KPM memperkenalkan Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF) yang berperanan dalam mengukuhkan rangkaian bersama Sekretariat Komanwel untuk memperkasakan pendidikan tinggi negara.
Katanya, CTEF diharap dapat menjadi agen yang menggerakkan kerjasama di peringkat negara-negara Komanwel dengan lebih sistematik, sekaligus dapat meletakkan Malaysia bukan hanya sebagai hub antarabangsa untuk pengajian tinggi, malah negara yang strategik untuk memperluas rangkaian dan kolaborasi antara negara-negara dunia.
``Kerjasama seperti yang dilihat pada hari ini adalah permulaan memberangsangkan untuk melihat bagaimana negara-negara terlibat dapat berkongsi idea dan pengalaman dalam mengurus isu akses kewangan dan pembiayaan bagi bidang pengajian tinggi di negara masing-masing.
``Perkongsian seumpama ini dilihat turut memberi input yang amat penting khususnya dalam keadaan semasa yang mana semua dari kita berhadapan dengan krisis ekonomi global,’’ ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Asma merasmikan CTEF Inaugural Workshop dengan tema ‘Higher Education Funding and Access Issues in Selected Commonwealth Countries’, anjuran bersama USM melalui Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) dan Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia dengan sokongan Sekretariat Komanwel (COMSEC).
Turut hadir ialah Timbalan Naiib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah CTEF, Profesor Dato’ Dr. Morshidi Sirat, Penasihat Pendidikan COMSEC, Nasir Kazmi dan Pengarah IPPTN, Prof. Madya Dr. Munir Shuib.
Asma juga menjelaskan, bengkel itu turut berperanan dalam memberi pemahaman global yang lebih holistik dalam hal-hal membabitkan mekanisma pembiayaan dan kewangan, melihat amalan kewangan dan pembiayaan terbaik dari negara-negara peserta.
``Perkongsian seumpama ini dapat menjana input yang berpotensi dipraktikkan dalam mengukuhkan polisi pembiayaan dan kewangan pengajian tinggi bagi negara-negara peserta, selain turut mengukuhkan hubungan antarabangsa dan perluasan rangkaian kerjasam global,’’ katanya.
Dalam pada itu, Morshidi pula berkata, CTEF mempunyai hala tuju yang jelas dan dan dalam tempoh lima tahun sehingga 2019, CTEF perlu berupaya menjana kewangan sendiri dan kukuh atas namanya sendiri.
``Sehingga kini CTEF yang berpusat di USM di bawah IPPTN masih dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan melalui KPM dan kita sudah merangka pelan strategik bagi menjalankan program-program khusus untuk memastikan kelestarian dan kelangsungan CTEF.
``Pelan jangka panjang CTEF juga antara lain akan melihat kemungkinan mempunyai satelit CTEF di lokasi selain Malaysia dan memastikan segala program-program strategik yang diatur dapat dijayakan sepenuhnya,’’ ujarnya.
Morshidi dilantik atas pengalaman luasnya mengetuai pelbagai agensi di bawah pengajian tinggi, termasuk mantan Ketua Pengarah JPT yang membolehkan beliau dikenali dan berjaya menarik penyertaan rakan strategik dari pelbagai negara luar. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1478