PELIHARA ORANG UTAN: PRIMAT SEBAHAGIAN SIMBOL KEBANGGAAN NEGARA
PULAU PINANG, 26 Nov. 2014 – Kelangsungan hayat orang utan yang semakin diancam kepupusan perlu diberi perhatian khusus dan dijadikan sebagai salah satu agenda penting negara bagi memastikan primat tersebut kekal dan berkembang dengan baik.
Pensyarah merangkap pakar ekologi dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Mashhor Mansor berkata, orang utan seharuskan menjadi lambang kebanggaan negara kerana primat tersebut berasal hanya di negara ini dan Indonesia.
Katanya, jika kita tidak peka dan memberi keutamaan kepada usaha memelihara orang utan, dikhuatiri negara akan hilang satu khazanah alam yang tidak ternilai yang tidak wujud secara liar di mana-mana negara selain Malaysia dan Indonesia.
``Orangutan menjadi simbol diversiti hutan kerana jika adanya orang utan, tempat itu boleh digambarkan sebagai kawasan yang kaya dengan biodiversiti alam. Kita perlu menghargai warisan ini.
``Orangutan juga menjadi simbol kebanggaan negara dan masyarakat perlu dididik sejak di alam persekolahan supaya lebih mengenali, seterusnya menghargai primat tersebut sebagai simbol diversiti negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas 1st Symposium of Orangutan International Collaborative Research yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Profesor Dato’ See Ching Mey.
Simposium tersebut menghimpunkan pakar-pakar primat dari seluruh dunia termasuk Profesor Tetsuro Matsuzawa (Kyoto University, Jepun), Profesor Suci dari Indonesia yang telah menghabiskan usianya dengan kajian-kajian primat, Naib Presiden Universiti Sumatera Utara (USU), Profesor Zulkifli Nasution dan ramai lagi.
See pula berkata, simposium tersebut menjadi platform terbaik untuk pakar-pakar berkenaan berkongsi pengalaman dan idea bagi memelihara orangutan dan memastikan pembangunan fizikal tidak akan memusnahkan ekologi dan diversiti hidupan lain.
Katanya, pembangunan dan modernisasi yang membawa kepada pembangunan fizikal perlu melibatkan input dari ahli-ahli ekologi bagi menjamin manusia dapat terus hidup secara berharmoni dengan lain-lain hidupan di muka bumi.
``Kita tidak boleh membunuh atau memusnahkan satu pihak lain untuk memastikan kita kekal hidup, sebaliknya perlu mencari jalan agar kedua-dua pihak mendapat faedah demi kelangsungan kehidupan masing-masing,’’ katanya.
Tambah beliau, USM juga telah bersedia untuk berkongsi kejayaan dalam usaha pemeliharaan orangutan di hutan di Pulau BJ, Bukit Merah hasil kerjasama yang dijalin dengan rakan industri, MK Land.
``Kita telah menempatkan sepasang orangutan di situ dan sehingga kini pasangan itu telah berkembang menjadi tiga (anak). Ini membuktikan usaha yang dijalankan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini sudah mula membuahkan hasil.
``Kejayaan ini adalah antara yang akan dibincangkan dalam simposium ini, selain peluang penerokaan kepada pelbagai perkara yang dapat memberi input dan manfaat ke atas usaha pemeliharaan primat ini,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md.Isa
- Created on .
- Hits: 1231