JADILAH PEMIMPIN YANG BERMINDA GLOBAL, KATA NC
KUBANG KERIAN, 27 November 2014 - Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) diminta untuk mempunyai pemikiran dengan mengupayakan diri dan bertindak berasaskan set minda global yang melihat dunia sebagai tempat untuk diterokai seluruhnya.
"Cabaran besar kita ialah untuk mendidik para mahasiswa kita berdikari dalam menerokai dunia yang luas ini, berfikir secara terbuka dan bersedia untuk berdikari dalam mengambil kesempatan yang ada dengan sepenuhnya," kata Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman dalam memberikan amanatnya kepada pemimpin pelajar di sini malam ini.
Katanya, para mahasiswa hari ini harus bertindak berani dalam merealisasikan usaha ini dengan membina jaringan kerjasama sama ada secara peribadi mahu pun melalui pelbagai mekanisme lain yang ada.
"Saudara-saudari perlu menguasai nilai-nilai global yang dapat mendorong anak-anak muda kita melihat dunia seluruhnya sebagai tempat untuk diambil peluang sama ada pekerjaan mahu pun pengalaman pada masa ini mahu pun pada masa hadapan," katanya lagi.
Menjawab soalan pelajar yang menganggap berada di Kampus Kesihatan agak kurang peluang untuk menerokai dunia luar dan antarabangsa, Omar meminta agar mahasiswa bijak mengambil kesempatan yang ada.
"Sama ada penyertaan dalam aktiviti berpersatuan, sukan, penyelidikan dan sebagainya yang banyak dianjurkan di Kampus Induk, mahu pun menggunakan teknologi seperti sidang video, para mahasiswa boleh menyertainya dengan memanfaatkan masa yang ada termasuk tatkala penganjuran dilaksanakan di sana," kata Naib Canselor.
Tambahnya lagi, usaha ini akan lebih bermakna jika membentuk jaringan-jaringan yang ada di seluruh dunia melalui inisiatif mahasiswa sendiri.
Menjawab satu soalan lain yang bertanyakan bagaimana seseorang mahasiswa untuk mempunyai minda global dalam kemudahan dan sistem yang ada dianggap tidak sehebat di negara maju, Omar menjelaskan bahawa minda global bukan hanya melalui prasarana dan nilai-nilai mewah dan dianggap maju, tetapi juga melihat secara menyeluruh kehidupan manusia sejagat.
"Kita agaknya begitu terpengaruh dengan nilai-nilai global dalam perspektif kesenangan dan kedudukan berdasarkan piawaian set minda lama dalam kerangka Barat tetapi cabaran sebenarnya ialah bagaimana untuk kita sesuaikan diri dalam nilai-nilai sejagat yang menyeluruh dan pelbagai kayu ukur yang lebih terbuka," kata Naib Canselor.
Naib Canselor juga meminta agar mahasiswa mengubah sikap mereka terhadap sudut pandang set minda global yang bukan hanya berteraskan material, tetapi perspektif yang lebih luas dan terbuka.
Omar juga turut merasmikan Karnival Kampus USM anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kesihatan USM yang bermula sejak 1 November lalu sehingga 6 Disember ini. - Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1120