ICLLIC PENTAS TERBAIK BINCANG CABARAN LINGUISTIK, KESUSASTERAAN DAN BUDAYA DALAM ERA GLOBALISASI
PULAU PINANG, 27 November 2014 - Dalam era globalisasi ini, bidang linguistik, kesusasteraan dan budaya menghadapi pelbagai isu dan cabaran semasa yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak termasuk ahli akademik, sarjana, pentadbir, pembuat dasar, dan semua pemegang taruh yang berkaitan.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, inisiatif Bahagian Pengajian Bahasa Inggeris, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM menganjurkan Persidangan Antarabangsa Linguistik, Kesusasteraan dan Budaya kali ke-3 (ICLLIC 2014) adalah amat tepat dan kena pada masanya untuk membincangkan pelbagai isu dan cabaran bidang tersebut yang dianggap semakin meluas dan berkembang saban tahun merentasi sempadan global.
“Walaupun secara fundamentalnya, USM ialah sebuah universiti yang didasarkan kepada sains dan teknologi, tetapi ia tidak pernah meminggirkan aspek bahasa, linguistik, kesusasteraan dan budaya yang juga sama pentingnya sebagai cabang ilmu yang perlu dalam memacu transformasi sistem pendidikan negara kita.
“Malah USM sentiasa menggalakkan pensyarah, penyelidik dan mahasiswanya untuk menggiatkan usaha menjalankan penyelidikan melalui pendekatan pelbagai disiplin dan rentas disiplin dalam bidang-bidang berkenaan secara kohesif untuk mendapatkan idea dan penemuan baru yang dapat meningkatkan lagi pengajian tinggi negara,” jelasnya.
Tambah Omar, pengajian bahasa Inggeris misalnya tidak lagi dilihat sebagai disiplin yang boleh dipelajari secara bersendirian, tetapi secara hibrid dengan disiplin-disiplin ilmu kemanusiaan lain – linguistik, kesusasteraan dan budaya – yang saling berkaitan dan inklusif dalam konteks ‘cross-disciplinary’, ‘multi-disciplinary’ malah kadang kala ‘trans-disciplinary.
“Dalam konteks ini, USM berharap untuk menghasilkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja berpengetahuan dan mahir dalam bidang pengajian mereka tetapi juga mampu berfikir secara kreatif, berkomunikasi secara efektif dan bekerja secara berpasukan yang sememangnya dikehendaki dalam alam pekerjaan hari ini,” katanya ketika merasmikan ICLLIC 2014 di sebuah hotel di sini kelmarin.
Turut hadir ialah Dekan PPIK Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim, Konvenor Persidangan Dr. Nurul Farhana Low Abdullah dan Dr. Mohamad Rashidi Mohd Pakri, serta Pengarah Bahagian Ilmu Kemanusiaan, Yale-NUS College, Singapura merangkap Pengucaptama Persidangan, Profesor Dr. Rajeev S. Patke.
Persidangan kali ini berjaya menghimpunkan hampir 80 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Vietnam, China, Jepun, Taiwan, Filipina, Oman, Iran, Amerika Syarikat, Nigeria, Afrika Selatan dan Australia.
Sebanyak 75 kertas kerja pelbagai topik yang berkisar kepada tema persidangan iaitu “Mapping the Spectrum: Current and Emerging Perspectives in Linguistics, Literature and Culture” telah dibentangkan dalam empat sesi selari dalam persidangan selama dua setengah hari itu yang berakhir pada Jumaat lalu.
Menurut Nurul Farhana, kertas kerja yang dibentangkan dalam persidangan ini akan diterbitkan oleh Penerbit Elsevier supaya ia mudah dicapai oleh lebih ramai pembaca melalui pangkalan data (akses terbuka) Science Direct.
“Selain itu, kami juga merancang untuk menerbitkan kertas-kerta kerja terpilih daripada persidangan ini dalam bentuk artikel jurnal terindeks khas bertujuan untuk meningkatkan kualiti di samping menaikkan nama USM ke persada dunia,” katanya.
Sempena ICLLIC 2014, satu panel khas bertajuk "Women and Creativity in Southeast Asia” (Wanita dan Proses Kreatif di Asia Tenggara) turut diadakan untuk memberi ruang kepada tiga penceramah jemputan wanita berkongsi pengalaman mereka dalam memperjuangkan hak asasi wanita melalui penglibatan mereka dalam bidang penulisan dan seni kreatif.
Turut dibincangkan dalam panel tersebut ialah isu-isu gender dan kreativiti yang dihadapi oleh wanita di Asia Tenggara dalam konteks persekitaran politik, ekonomi, sosial dan budaya yang semakin berubah.
Pada malam hari pertama persidangan, semua peserta diraikan dalam suatu majlis makan malam yang dihoskan oleh Naib Canselor USM. Hadir mewakili Naib Canselor ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri.
Majlis diserikan lagi dengan bacaan puisi oleh sarjana dan tokoh seni teater tradisional Asia Tenggara yang juga pengasas program Seni Persembahan (Performing Arts) yang pertama di Malaysia ketika mengajar di USM pada tahun 1970, Dato’ Dr. Ghulam Sarwar Yousof dan beberapa rakan beliau.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Yong Check Yoon
- Created on .
- Hits: 1367