USM CIPTA SISTEM PENGKELASAN KESIHATAN PERGIGIAN PERTAMA DI DUNIA
KUBANG KERIAN, KELANTAN 27 November 2014 – Hasil penyelidikan yang dijalankan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menghasilkan satu sistem pengkelasan kesihatan pergigian pertama seumpamanya di dunia yang dikenali sebagai Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian (SGKKP) yang pertama kali dibangunkan di dunia untuk memenuhi keperluan sektor jagaan kesihatan pergigian.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika berucap melancarkan SGKKP “Oral Health Casemix System” Kampus Kesihatan USM di sini berkata sistem yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh orang awam dalam mendapatkan rawatan kesihatan pergigian yang lebih baik tetapi juga mampu menjadi tanda aras kualiti dan kuantiti pengunaan sumber dan kos dalam rawatan tersebut kepada pihak pengurusan terbabit.
“Dengan adanya tarif dan pengkelasan rawatan yang sistematik dapat memudahkan pihak hospital untuk menguruskan urusan kewangan dan bajet dengan lebih efisyen lagi,” kata Omar.
Beliau juga berharap dengan terhasilnya sistem yang canggih sebegini dapat membantu pihak universiti untuk memantapkan lagi aspek pendidikan agar para graduan yang dikeluarkan nanti juga mampu memberi perkhidmatan yang berguna kepada masyarakat umum.
“Kepakaran dan kemudahan yang kita ada di USM akan kita gunakan sepenuhnya dalam pelbagai bidang untuk memastikan matlamat utama universiti akan tercapai dengan jayanya,” tambah beliau lagi.
Sistem ini dibangunkan oleh para penyelidik dari Pusat Pengajiian Sains Kesihatan USM dan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM bersama-sama International Casemix and Clinical Coding Center (ITCC) dan Fakulti Pergigian, UKM.
Sistem Gabungan Kes (Casemix System) merupakan sistem pengkelasan pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima oleh pesakit. Konsep sistem ini adalah untuk memudahkan proses pendiagnosan pesakit yang umum mengetahui ianya kompleks dengan menggabungkan pesakit-pesakit tersebut kepada satu kategori diagnosis yang sama serta bermakna secara klinikal dan penggunaan sumber yang sama dalam rawatan yang diberikan.
Kategori penyakit ini dikenali sebagai Case-Based Groups (CBG) yang dihasilkan daripada penggunaan perisian berinovasi tinggi, Malaysia DRGTM (MY-DRGTM). Grouper yang mengkategorikan keadaan pesakit kepada CBG tertentu yang sama dari sudut keperluan klinikal dan ekonomi. Oleh itu, purata sumber yang digunakan untuk setiap kumpulan diagnosis dapat dikenalpasti dengan tepat.
Sementara itu, Ketua Projek Pembangunan SGKKP Kampus Kesihatan USM Dr Rosminah Mohamed berkata kelebihan dalam sistem yang dibangunkan ini ialah ia mampu mengkategorikan kumpulan pesakit pergigian di Malaysia dengan butiran yang lebih tepat.
“Melalui perisian MY-DRGTM Grouper dapat mengkelaskan pesakit oral yang mendapat rawatan mengikut keperluan masing-masing dan memudahkan proses pendiagnosan kepada pesakit berkaitan,” kata Rosminah.
“Sehingga kini seramai 28,000 orang pesakit oral telah berjaya dikelaskan mengikut kategori di kedua-dua universiti iaitu di USM dan UKM,” tambahnya lagi.
USM telah melaksanakan penggunaan Sistem Gabungan Kes untuk rawatan perubatan pesakit dalam dan kini berada dalam tahun kedua perlaksanaannya untuk mencapai matlamat ekonomi dan keberkesanan perkhidmatan jagaan kesihatan. Ianya juga penting untuk perancangan peruntukan sumber di hospital, pengurusan hospital dan juga untuk pemantauan kualiti jagaan kesihatan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Dekan Fakulti Pergigian UKM, Profesor Dato’ Dr. Ghazali Mat Nor yang mewakili Naib Canselor UKM, Pengarah Hospital USM, Dato’ Dr. Zaidun Kamari, Profesor Dato’ Dr Syed Mohamed Aljunid, Ketua International Centre for Casemix and Clinical Coding (ITCC), Fakulti Perubatan UKM dan Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Khairiyah Abd Muttalib. Teks Asal & Foto : Mohd. Rodin bin Che Yusoff Suntingan: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1559