15 NEGARA SERTAI PENANG HILL INTERNATIONAL RUN 2014 ANJURAN USM
PULAU PINANG, 1 DISEMBER 2014 – Sejumlah hampir 2000 orang peserta melibatkan 15 buah negara memeriahkan Penang Hill International Run 2014 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) yang buat julung kalinya diadakan di Taman Botani Pulau Pinang baru-baru ini.
Larian yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Kategori Varsiti (Lelaki), Kategori Varsiti (Wanita), Kategori Sekolah (Lelaki) dan Kategori Sekolah (Wanita) melibatkan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), International University & Colleges, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pelajar sekolah menengah seluruh negeri Pulau Pinang.
Menurut Amirah Hanani Yahaya, Pengarah Projek Penang Hill International Run 2014, program ini merupakan julung kali diadakan di bawah Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan bersama-sama Sekretariat Alumni Fajar Harapan dan ‘USM Student Buddies’ bagi menyahut seruan Universiti memperbanyakkan aktiviti pelajar melibatkan komuniti luar.
“Program ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup lestari di kalangan siswa-siswi dan pelajar sekolah, termasuklah mengantarabangsakan penglibatan pelajar dengan komuniti luar sekaligus melahirkan pelajar yang holistik dan berminda global,” katanya sebelum majlis pelepasan diadakan.
Turut hadir adalah Dr. Rivani Bustami, Penasihat Projek Penang Hill International Run 2014 dan Dr. Michael Yap, Ketua Eksekutif International University & Colleges, Kampus Pulau Pinang yang turut bersama-sama melepaskan peserta larian sekitar jam 9.00 pagi.
Antara negara yang terlibat adalah Kenya, Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Sweden, China, Finland dll.
Pada majlis yang sama Dr. Rivani Bustami pada ucapan beliau sebelum pelepasan peserta berkata, antara objektif utama penganjuran program ini adalah bertujuan memberi keseimbangan di antara akademik dengan penglibatan para pelajar di luar kuliah termasuklah mempelajari menghargai alam sekitar secara keseluruhannya.
“Selaras dengan matlamat USM yang ingin mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok, ini adalah tujuan utama USM bagi mendekatkan diri para pelajar dengan alam sekitar agar mereka lebih mencintai dan menghargai alam tanpa melakukan kerosakan”
Program ini turut mendapat kerjasama Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang dan Jabatan Taman Botani Pulau Pinang.
Tambah Rivani lagi kerjasama daripada banyak pihak membuktikan bahawa wujudnya kesedaran dan kepentingan memartabatkan gaya hidup lestari seiring dengan perkembangan masa kini.
Program berakhir dengan penyampaian hadiah di puncak Bukit Bendera sekitar jam 1.00 tengahari sebelum ke semua peserta bersurai menuruni trek Bukit Bendera sejauh 5 kilometer. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1435