EXTRAVAGANZA GAMIT KEMERIAHAN 2,000 PENONTON
PULAU PINANG, 1 DISEMBER 2014 – Konsert Extravaganza 2014 berjaya menggamit kemeriahan hampir 2,000 orang penonton yang memenuhi Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) bagi menyaksikan persembahan amal Universiti Sains Malaysia Jazz Band (USMJB) baru-baru ini.
Rata-rata penonton yang hadir begitu terhibur dari awal sehingga akhir persembahan USM Jazz Band dikelolai oleh Prof. Madya Dr. Razif Mohd, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan, Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia.
Selain muzik genre Jazz dimainkan, muzik-muzik klasik Beatles, lagu-lagu soundtrack filem terkenal turut dipersembahkan sekaligus mendapat tepukan gemuruh dari penonton.
Menurut Prof. Madya Dr. Razif Mohd, tahun ini Jazz Band menampilkan persembahan berbeza apabila menggabungkan muzik jazz dan klasik bersama gamelan tradisional.
‘Kita ingin membuat sesuatu kelainan pada tahun ini di mana semua budaya bersatu di dalam satu irama lagu dan dipersembahkan khas untuk penonton yang hadir” katanya.
Tambah beliau Extravaganza kali ini begitu bermakna kerana dapat bersama-sama pemuzik dari Thaksin University, Thailand dan pelapis muda dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin, Pulau Pinang dalam memberikan kelainan citarasa persembahan muzik kali ini.
“Saya ingin memberikan peluang kepada mereka untuk bersama-sama membuat kebajikan melalui persembahan amal yang setiap tahun diadakan, di mana kerjasama ini akan diperhebatkan lagi pada persembahan akan datang”
Turut hadir adalah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Omar Osman dan isteri, Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey, Dekan Pusat Pengajian Seni dan juga Pengarah Dewan Budaya, Prof. Madya Omar Bidin serta pegawai-pegawai utama universiti.
Selain itu, pada majlis yang sama, Ketua Projek Extravaganza 2014, Ng Soon Sun berkata hasil kutipan jualan tikat konsert kali ini akan didermakan kepada yang memerlukan termasuk mengadakan aktiviti amal selepas ini.
“Sebanyak 30% daripada hasil jualan tiket konsert ini akan disumbangkan kepada Penang Family Health Development Association (FHDA), iaitu sebuah badan amal yang bertempat di Jalan Perak, Pulau Pinang.”
Beliau turut menambah sumbangan itu akan digunakan untuk membantu mereka dalam mendirikan sebuah klinik percuma yang menawarkan perkhidmatan konsultasi kepada para pesakit HIV. Teks dan Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1334