USM JOHAN KESELURUHAN NACES 2014
SERI ISKANDAR, 3 Disember 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara keseluruhan buat kali kedua berturut-turut di Simposium Kejuruteraan Kimia Kebangsaan 2014 (NACES 2014) kelolaan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.
Simposium tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan kerjasama Institution of Chemical Engineers (IChemE) Malaysia disertai 19 universiti dari dalam dan luar negara.
Menurut Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar & Jaringan) Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) USM, Profesor Madya Dr. Azmier bin Ahmad, simposium ini merupakan landasan yang menyediakan ruang untuk pelajar Kejuruteraan Kimia dari universiti tempatan bersaing, berkongsi pengalaman dan pendapat mengenai isu-isu dalam disiplin berkenaan yang berkaitan juga dengan alam sekitar dan kelestarian.
"Kejayaan ini merupakan bonus malah kejayaan berganda kepada para pelajar dan USM kerana mereka boleh dikatakan hebat dalam semua kategori yang dipertandingkan oleh penganjur," kata Azmier.
"Saya bersyukur kerana kesungguhan pelajar ini telah berjaya mengekalkan status kita sebagai johan dalam simposium pada tahun ini yang bertemakan Tenaga Mampan: Teknologi Hijau untuk Masa Hadapan yang Lebih Baik", tambahnya lagi.
Seramai 23 orang pelajar prasiswazah PPKK USM tahun kedua, ketiga dan keempat dipilih untuk mempertahankan kejuaraan yang diperolehi pada tahun lepas.
Mereka dibimbing oleh para pensyarah PPKK USM Profesor Madya Dr. Zainal Ahmad dan Dr. Lim Jit Kang.
Simposium disertai oleh 340 orang peserta termasuk dari dua buah universiti dari Indonesia iaitu Universitas Brawijaya dan Institut Teknologi Bandung.
- Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Syed Nor Izwan Said Muliyana & Osmarizal Osman
- Created on .
- Hits: 1230