USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RU BAWA UNIVERSITI NEGARA KE ERA BARU

DSC 0206

BANGI, 4 Nov.2014 – Langkah kerajaan dalam memperkenalkan universiti penyelidikan (RU) pada tahun 2006 telah membawa universiti Malaysia ke era baru yang lebih cemerlang dan memberi impak besar kepada pembangunan negara secara keseluruhan.

Lima universiti berkenaan adalah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dalam tempoh lima tahun (2007-2013), RU telah menunjukkan pencapaian yang amat memberangsangkan dan telah menyumbang RM3.6 bilion kepada pendapatan negara kasar (GNI).

DSC 0259

Katanya, angka itu amat memberangsangkan, belum termasuk dengan pecapaian dalam aspek lain termasuk penerbitan, konsultansi dan sebagainya yang jelas menunjukkan kepakaran penyelidik-penyelidik semakin berkembang.

``Banyak hasil penyelidikan di RU dan juga universiti-universiti lain telah mendatangkan manfaat cukup besar khususnya kepada komuniti tertentu termasuk petani, usahawan siswazah, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan sebagainya.

``Dengan adanya RU juga kita boleh melihat bagaimana negara kini telah berjaya mengeluarkan kira-kira 25,000 pemegang ijazah doktor falsafah (Ph.D) dan lebih menarik, kebanyakannya dikeluarkan dari dalam negara,’’ katanya.

DSC 0267

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sidang media bersempena Pameran Pencapaian Kejayaan Universiti Penyelidikan Siri ke-5 yang bertemakan Universiti Untuk Komuniti di UKM, di sini semalam.

Idris turut tertarik dengan kejayaan projek libatsama penyelidik USM, Profesor Madya Dr. Aileen Tan Shau Hwai dengan nelayan dari Merbuk, Kedah, Mohamad Ridzwan Ishak  dalam penternakan tiram.

Mohamad Ridzuan yang dahulunya hanya berupaya meraih pendapatan dalam lingkungan RM300-RM500 sebulan melalui penjualan hasil tangkapan laut kini boleh berbangga kerana berupaya meraih pendapatan lumayan sehingga mencecah RM 10,000 dalam satu-satu masa

DSC 0217

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail pula berkata, RU memiankan peranan lebih dari sekadar menghasilkan penyelidikan yang berpotensi dikomersialkan dalam bentuk fizikal.

Ujar beliau, RU berupaya menjadi penyelesai masalah kepada komuniti baik diperingkat golongan terkebawah, industri kecil dan sederhana, (SME), industri besar, syarikat multinasional, agensi-agensi dan sebagainya.

``Sejak tempoh lima tahun kebelakang juga RU telah berupaya menjana RM1.25 bilion hasil dari kepakaran penyelidik kita membantu dalam menjadi solution provider kepada pelbagai pihak. Di sinilah kekuatan yang ada pada pakar-pakar dari universiti tempatan.

``Justeru impak RU bukan sekadar dilihat dalam konteks pengkomersialan produk semata-mata malah RU berperanan dalam membangunkan bakat, memasyurkan penyelidikan, menjana kekayaan negara dan mentransformasi komuniti melalui penyebaran ilmu pengetahuan dan pemindahan teknologi,’’ ujar beliau.

DSC 0300

Dalam pada itu, pameran penutup tirai setelah kesemua empat RU mempamerkan pelbagai bidang yang menjadi kekuatan RU itu selari dengan usaha menyokong hasrat kerajaan menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.

Turut hadir ke program tersebut ialah Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali. USM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Nor Rafizah Md Zain 

  • Created on .
  • Hits: 1341

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024