CABARAN UNIVERSITI ASEAN DIBINCANG DALAM PERSIDANGAN DI KOREA SELATAN
PULAU PINANG, 11 Disember 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman adalah antara Naib Canselor dari universiti-universiti ASEAN yang menghadiri Persidangan Rektor Universiti Korea ASEAN 2014 bermula di Busan Korea Selatan hari ini.
Naib Canselor menghadiri persidangan ini mewakili USM sebagai ahli ASEAN University Network (AUN).
Persidangan ini dianjurkan oleh Korea Ministry of Education, Korea Council for University Education, Korea Educational Development Institute dan National Research Foundation of Korea sempena perayaan 25 tahun Dialog ASEAN-Korea bersekali dengan ASEAN-Korea Summit di Busan Exhibition and Convention Centre (BEXCO) yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato' Sri Mohd. Najib Razak.
Persidangan Rektor Universiti Korea dan negara ASEAN menghimpunkan 54 buah universiti dari lapan buah negara iaitu 27 universiti dari Korea dan 27 lagi dari negara-negara ASEAN diwakili Naib Canselor, Presiden, dan Rektor atau wakil-wakil mereka.
Menurut Omar, persidangan ini bertemakan Universiti Inovatif, Kemakmuran Bersama Korea-ASEAN (Innovative University, Korea-ASEAN Co-Prosperity) dengan membincangkan antaranya, "the fostering of future leaders taking the Lead of Asian Era, Engine for Economic Growth: University and One Asia, Student Faculty Mobility.”
"Antara isu-isu menarik yang dibincangkan ialah, pendidikan tinggi dan isu demografi iaitu penduduk yang semakin berkurangan, cabaran teknologi maklumat, keupayaan kerajaan membiayai pendidikan tinggi, tekanan kepada universiti awam menjadikannya lebih berupaya menjana kewangan sendiri, tekanan kepada universiti oleh industri menghasilkan penyelidikan berorientasikan produk atau menyelesaikan masalah industri, tekanan menghasilkan pelajar yang mahir industri dan berpaksikan globalisasi," kata Omar dalam emel yang dihantar dari Busan Korea Selatan.
Katanya lagi, persetujuan dijangka dapat dicapai untuk menjalin kerjasama yang berterusan di antara universiti-universiti di negara-negara ASEAN dengan universiti-universiti Korea.
"Turut dibincangkan ialah agenda seperti "Green Eco-preneurship Accelerated Program" yang dilaksanakan oleh Hangdong University berasaskan hubungan akrab dengan sistem tempatan yang menumpukan kepada latihan dan membangunkan semangat keusahawanan yang membuka ruang sebenar kepada peluang pelaburan dan menggalakkan aktiviti pengukuhan ekonomi tempatan di samping memperkasakan kepimpinan yang akan datang," tambah Naib Canselor.
Dari pembentangan dan perbincangan yang dibuat, Omar berkata, adalah jelas terdapat banyak cabaran akan dihadapi oleh mahasiswa dari rantau Asia dalam keadaan di mana ramai pelajar yang terbaik lebih berminat berhijrah ke negara-negara maju, mobiliti keluar jauh lebih besar daripada mobiliti masuk ke negara-negara ASEAN serta cabaran terbesar dan paling getir ialah untuk mahasiswa di negara-negara ASEAN memenuhi piawaian antarabangsa.
Naib Canselor USM itu dijangka menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam sempena Persidangan ini. Persidangan ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Korea, Shin Ho Kim. - Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1651