USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM CADANG TUBUH PASUKAN KHAS PERKUKUH HUBUNGAN UNIVERSITI ASEAN - KOREA SELATAN

vckorea2

BUSAN, KOREA SELATAN, 11 Disember 2014 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman mencadangkan agar ditubuhkan satu pasukan petugas khas untuk melakukan usaha memperkukuhkan hubungan universiti-universiti ASEAN dengan Korea Selatan.

Bercakap di majlis makan malam sempena Persidangan Rektor Universiti Korea ASEAN 2014 (ROK) di Busan Korea Selatan yang berlangsung di sini hari ini, Omar berkata Naib-naib Canselor, Rektor, Presiden dan wakil-wakil universiti yang hadir sedar tentang peranan yang perlu dimainkan oleh universiti-universiti dalam pembangunan nasional dan rantau seperti mana disebut oleh ramai pembentang yang menunjukkan betapa pentingnya keputusan pada peringkat dasar dibuat dalam hal ini sebagai sebahagian usaha melakukan anjakan terhadap proses pembangunan yang ada.

"Kami juga sedar dan mengakui betapa laluan yang disediakan melalui persidangan ini terutamanya oleh kerajaan dan industri untuk perkembangan dan kelestarian masa hadapan khususnya usaha kreatif dalam teknologi dan pembangunan adalah penting dalam konteks pengajian tinggi," kata Omar.

Turut berucap ialah Presiden Pusan National University Kim Ki-Seob.

Majlis tersebut yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Korea Selatan, Woo Yea Hwang untuk meraikan para peserta persidangan itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Korea, Korea Council for University Education, Korea Educational Development Institute dan National Research Foundation of Korea sempena perayaan 25 tahun Dialog ASEAN-Korea yang menghimpunkan 54 buah universiti dari lapan buah negara iaitu 27 universiti dari Korea dan 27 lagi dari negara-negara ASEAN diwakili Naib Canselor, Presiden dan Rektor atau wakil-wakil mereka.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Presiden Majlis Pendidikan Universiti Korea Kim Jun Yong; Pengarah Eksekutif ASEAN University Network (AUN) Dr. Nantana Gajaseni dan wakil National Research Foundation of Korea Chung Min Keun.

vckorea3

Tegas Omar, adalah dicadangkan agar Kementerian Pendidikan Korea Selatan menubuhkan kumpulan kerja khas untuk memperkukuhkan kolaborasi di antara universiti-universiti Korea Selatan dan universiti-universiti ASEAN dalam bidang-bidang pembangunan dan kerjasama masa hadapan.

Beliau menambah para peserta bersetuju agar persidangan ini dijadikan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan dengan perkongsian tema yang tertentu.

"Persidangan ini amat signifikan kerana para peserta dapat berkongsi cabaran-cabaran bersama yang dihadapi sektor pengajian tinggi dalam kalangan universiti rantau ASEAN mahu pun Korea Selatan," tambah Omar.

Tegasnya lagi, adalah penting untuk universiti-universiti ASEAN bekerjasama rapat menjelang bermulanya Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun 2015.

Sementara itu Menteri Pendidikan Korea Selatan dalam ucapannya berharap agar dapat melaksanakan program-program yang berkaitan isu Pembangunan Lestari terutamanya yang berkaitan dengan perubahan cuaca (climate change), pengurusan bencana dan latihan dalam bidang teknologi hijau serta program latihan untuk pelajar kejuruteraan universiti-universiti ASEAN.

Beliau turut menyeru agar para peserta terutamanya Naib Canselor, Rektor dan Presiden universiti-universiti ASEAN menyokong inisiatif yang dibuat. - Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1551

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024