PESTA AMAL TAHUN BARU CINA PERKUKUH JALINAN PERPADUAN DAN SILATURAHIM
PULAU PINANG, 13 Disember 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti bercorak kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan oleh mahasiswanya, terutamanya aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk serta memperkukuhkan jalinan perpaduan dan silaturahim tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya.
Demikian kata Pengarah Sektor Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) USM, Dr. Nazarudin Zainun, dalam ucapannya ketika melancarkan Pesta Amal Tahun Baru Cina (PATBC) 2015 di sini petang ini.
Pesta Amal Tahun Baru Cina (PATBC) merupakan acara tahunan yang besar yang dianjurkan oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) USM dengan kerjasama BHEPP USM.
Sambutan PATBC 2015 yang dijangka diadakan pada 26 – 28 Mac 2015 di Kampus Induk USM merupakan kali ke-9 ia dianjurkan.
Menurut Nazarudin, program seperti PATBC tersebut yang saban tahun diadakan merupakan satu aktiviti yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga USM terutamanya golongan mahasiswa untuk mengenali dengan lebih dekat dan memahami dengan lebih mendalam tentang tradisi dan budaya masyarakat Cina.
“Oleh itu saya menyeru seluruh warga kampus dan juga luar kampus untuk bersama-sama hadir untuk memeriahkan lagi sambutan pesta tersebut pada bulan Mac nanti seperti mana program Pesta Tanglung anjuran SKKT pada September lalu yang berjaya mendapat sambutan yang begitu baik dalam kalangan warga kampus.
“Malah, program seperti ini diharapkan secara tidak langsung dapat menarik ramai pengunjung dari luar untuk melawat kampus USM, dan pada masa yang sama memberi persepsi yang baik tentang universiti kita dalam melahirkan mahasiswa yang holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga dalam pengurusan dan perancangan acara, semangat kerja berpasukan, semangat kesukarelawanan dan berkhidmat kepada masyarakat,” kata Nazarudin.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Projek PATBC 2015, Goh Wei Kit berkata, SKKT telah mula membuat persiapan untuk pesta tersebut seawal bulan September apabila bermulanya semester pertama dengan pencarian ahli jawatankuasa dalam kalangan ahli-ahli SKKT.
“Untuk sambutan PATBC ke-9 ini, SKKT telah menetapkan ‘Fantasy chevre’ sebagai tema utama, dan diharap melalui tema ini, ia memberi peluang kepada mahasiswa untuk membuka minda dan berfikir dengan lebih kreatif dan kritis untuk mewujudkan sesuatu kelainan bagi menarik lebih ramai peserta menghadiri pesta ini.
“Selain itu, SKKT juga berhasrat untuk mendermakan sebahagian daripada sumbangan yang diterima daripada pihak luar kepada golongan yang memerlukan bantuan kewangan yang akan dikenal pasti kelak,” kata Goh.
Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina untuk menyambut tahun baru dalam kalendar Cina. Kalendar Cina yang terbahagi kepada kitaran 12 tahun, dinamakan sempena nama haiwan, dan tahun 2015 adalah tahun kambing.
Majlis pelancaran diserikan lagi dengan persembahan tarian tradisional, nyanyian dan orkestra Cina oleh ahli-ahli SKKT.
Turut hadir ialah Yang Di-Pertua SKKT USM Chua Swee Hong dan Penolong Pendaftar Kanan BHEPP Moganeswary Muthusamy. - Teks & Foto: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 2135