USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGAJIAN KEJURUTERAAN USM ANTARA YANG TERBAIK DI DUNIA

apex1

PULAU PINANG, 15 Disember 2014 - Berdasarkan QS-WUR Ranking, pengajian Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam kalangan 150 buah universiti terbaik di dunia.  Pengajian  Kejuruteraan Kimia misalnya sejak  2011 sentiasa tersenarai dalam "Top 100", malah pada tahun 2013 tersenarai di tempat 38 dunia. Dalam tahun 2014, terdapat 2 orang pensyarahnya tersenarai dalam The World's Most Influential Scientific Minds: 2014 di samping seorang daripadanya turut diiktiraf menerima Merdeka Award baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman,  secara keseluruhannya, kesemua pusat pengajian kejuruteraan tersenarai dalam QS-WUR subject ranking. Bidang Kejuruteraan juga tersenarai dalam Shanghai Jiao Tong ARWU dalam tahun 2014. ARWU Ranking mempunyai metodologi yang berbeza dengan QS-WUR dan  lebih sukar, malah dari Malaysia hanya 2 universiti tersenarai dalam ranking ini dengan  USM di kedudukan Top 150 (101-150) dalam bidang Kejuruteraan dan UKM Top 200 (151-200) dalam bidang Matematik. 

Tambahnya lagi, berdasarkan pencapaian-pencapaian ini adalah jelas bahawa isu-isu yang dibangkit tentang pembinaan dua buah makmal bersepadu di kampus Kejuruteraan tidak mengganggu dalam usaha USM untuk bersaing di peringkat dunia. 

Beliau bercakap kepada pemberita untuk menjawab isu yang dibangkitkan di muka hadapan akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang bertajuk "USM Falls Short" dan "USM not living up to status".

Laporan berkenaan mendakwa kedudukan USM tergugat apabila infrastruktur yang ada di Kampus Kejuruteraan tidak berfungsi dengan baik yang merujuk kepada dua buah makmal yang dikatakan belum siap sepenuhnya dan satu lagi makmal yang dikatakan tidak digunakan dengan sewajarnya.

Salah satu makmal yang dinamakan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan atau Science and Engineering Research Centre (SERC) dibina pada tahun 2008 dan siap sepenuhnya pada 2011 dengan mempunyai peralatan bernilai  RM12 juta, sebahagian besarnya sumbangan Islamic Development Bank (IDB) dengan pembelian peralatan dibuat fasa demi fasa.

kejut1

SERC menyediakan makmal gunasama di antara semua pusat pengajian terutamanya di Kampus Kejuruteraan secara berterusan, di samping menyediakan perkhidmatan kepada industri dan pengguna luar sebagai satu usaha penjanaan kewangan dalam jangka panjang.  Sehingga 2014,  SERC  mula menjana sebanyak RM104,000 dengan penggunaan sebanyak 20 hingga 30 pengguna setiap bulan di samping penggunaan oleh para pelajar ijazah tinggi dan para penyelidik di sini. 

Hadir sama dalam Sidang Media tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Kampus Kejuruteraan yang juga Pengarah SERC Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd. Ishak, Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi USM Profesor Dr. Rozman Din dan Pengarah Jabatan Pembangunan USM Ir. Abdul Aziz Che Jusoh.

Menjawab soalan pemberita, Zainal Ariffin berkata, sebagai Pengarah SERC isu penggunaan ruang makmal tersebut tidak timbul apatah lagi Jabatan Audit Negara baharu sahaja membuat auditannya dan berpuas hati dengan tahap penggunaan dan peralatan yang ada di makmal tersebut.

"Malah sehingga kini makmal-makmal tersebut digunakan sepenuhnya oleh para pelajar mahu pun pihak industri dan terdapat pihak dan industri yang berminat untuk menambahkan peralatan mereka di sini," kata Zainal Ariffin.

Tambahnya lagi, Kampus Kejuruteraan USM dijangka akan memperkukuhkan lagi usaha penyelidikannya dalam membrane, catalyst, sumber air, komposit dan pengurusan sisa pepejal pada masa hadapan.

kejut2

Menjelaskan pula tentang isu makmal, Ruang Penyelidikan Bersepadu dengan kos sebanyak RM14.29 juta dimulakan pada tahun 2010 yang sepatutnya siap pada tahun 2012 dan  kontraktor ditamatkan perkhidmatannya kerana  kelewatan pada tahun penilaian dibuat, Naib Canselor menjelaskan bahawa USM juga kecewa dengan hal yang sedemikian namun usaha ini diteruskan dengan membuka  tender baharu yang  dipilih mengikut proses dan amalan biasa dan berdasarkan maklumat yang ada  kontraktor yang dipilih sememangnya  berdaftar dengan "Construction Industry Development Board" (CIDB) sehingga 2016 dan sememangnya kontraktor  kelas A dengan kerja-kerja bermula pada 2013 dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini. 

"Hanya pada 8 Disember lalu kami baharu dimaklumkan melalui notis CIDB yang pendaftaran tersebut ditarik balik namun bangunan berkenaan telah pun 97% siap untuk diisi dengan peralatan-peralatan yang perlu dan tentu sahaja hal ini adalah di luar kawalan universiti," jelas Omar.

Katanya lagi, USM mempunyai perancangan rapi terhadap pembangunan pengajian dan penyelidikannya dan peralatan-peralatan sedang dalam proses untuk dimasukkan apabila makmal-makmal ini siap sepenuhnya nanti termasuk melalui sumbangan pihak industri dalam mengukuhkan hubungan yang ada dan menjadi pemangkin untuk kemajuan penyelidikan di sini.

Salah satu makmal yang akan diletakkan di sini ialah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar atau River Engineering and Urban Drainage Research Centre (REDEC) yang merupakan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kementerian Pendidikan.

Makmal-makmal ini dibina sebagai satu kaedah penjimatan untuk membolehkan semua pusat pengajian kejuruteraan berkongsi peralatan dan kemudahan yang ada dalam melonjakkan pengajian kejuruteraan USM pada masa hadapan yang kesannya dijangka dapat dilihat dalam beberapa tahun nanti. 

kejut3

"Program Pemacuan untuk Kecemerlangan – APEX yang diamanahkan kepada USM pada tahun 2008 adalah satu perjalanan dan penerokaan jauh untuk mengubah sikap dan amalan yang ada yang berkaitan dengan pengajian tinggi yang sangat menekankan kepada anjakan minda semua pihak terutamanya di dalam kampus terutamanya untuk bekerja bersama-sama, berkongsi kemudahan yang ada, berfikir secara kreatif dan inovatif untuk menyelesaikan masalah dan memanfaatkan sumber yang terhad untuk melaksanakan amanah ini," tegas Omar.

Kerana itu katanya lagi, USM memanfaatkan apa sahaja yang diberikan terutamanya oleh kerajaan untuk memastikan hasratnya tercapai seperti yang telah semakin jelas kelihatan sekarang ini melalui pencapaian Kampus Kejuruteraan USM, kedudukan ranking mengikut disiplin yang menunjukkan USM nombor 28 dalam Sains Persekitaran serta pelbagai pencapaian lain yang kini sedang dilakukan juga di Kampus Kesihatan USM.

Omar menjelaskan hal ini apabila ditanya tentang peruntukan dana yang diberi dan menegaskan hal ini bukan isu besar, sebaliknya menjadi cabaran kepada USM untuk mencapai apa yang dihasratkannya nanti dengan pelbagai kaedah yang ada terutamanya melalui kerjasama rapat dengan pihak luar.

"Yang penting sekarang ini USM sedang berkolaborasi dengan pelbagai universiti di seluruh dunia menjangkau lebih 120 buah universiti di seluruh dunia untuk melebarkan jaringan kerjasama yang ada terutamanya melalui pelbagai pertubuhan yang disertainya," kata Omar.

Tegasnya, USM berharap untuk semua pihak menyokong usaha-usaha yang dibuat agar usaha yang dilakukan ini akan beroleh kejayaan pada masa hadapan.​ - Teks: Mohamad bin Abdullah/Foto: Mohd Kamil Ashar/Mohamad Danial Shahri 

  • Created on .
  • Hits: 3007

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024