USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASUKAN ARKEOLOGI USM LAKUKAN KAJIAN FASA 2 DI PAKISTAN

peshawar 10

PULAU PINANG, 17 Disember 2014 -  Sekumpulan 10 orang penyelidik yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (PPAG USM) Profesor Dato' Dr. Mokhtar bin Saidin kini sedang giat melakukan penyelidikan fasa dua di Kampus University of Peshawar (UoP), Pakistan.

Mereka bertolak pada 10 Disember lalu dan akan berada di sana sehingga 13 Januari nanti.

Pasukan penyelidik ini dibantu oleh sekumpulan penyelidik arkeologi UoP yang diketuai oleh pakar arkeologi terkemuka Pakistan Profesor Dr. Nasim Khan.

Dalam emelnya, Mokhtar berkata, disebabkan oleh faktor keselamatan yang agak kritikal di Peshawar, kajian mereka kali ini tertumpu di tapak sekitar kampus UoP sebagai lanjutan daripada kerja-kerja awal pemetaan di Kashmir Smash pada Jun 2013 setelah menandatangani persefahaman dengan UoP pada bulan Mac tahun lalu. 

"Kali ini tumpuan kita ialah kepada ekskavasi tapak akademik Pashton yang terletak di dalam kampus UoP," kata Mokhtar.

Jelas Mokhtar, ini merupakan tapak tamadun yang pernah dikaji oleh British pada 1876 tetapi tidak melibatkan kajian saintifik, lebih kepada mendapatkan artifak yang bernilai tinggi dan rekod kajian oleh British ini menyatakan ia adalah sebuah stupa yang kemudiannya, dibina bangunan Akademik Pashton, iaitu sebuah pusat pengajian tentang bahasa Pashton di atas lokasi stupa ini. 

Mengikut Profesor Dr. Nasim Khan, ada kemungkinan tapak ini mewakili bukti tamadun Buddha pada kurun pertama Masihi lalu ia menjadi  sebuah tapak yang sangat penting yang memerlukan pendekatan saintifik dalam penyelidikannya.

peshawar 11

"UoP memohon USM membantu menjalankan kajian arkeologi saintifik di tapak ini walaupun terdapat banyak permohonan oleh universiti dan institut terkenal di dunia untuk menjalankan kajian di tapak ini, namun  mereka  lebih bersedia untuk  bekerjasama dengan USM," kata Mokhtar.

Jelasnya lagi, kajian ini sangat dialu-alukan oleh UoP dalam mendedahkan bukti tamadun awal di dalam kampus yang akan menjadi tarikan kepada pelancongan.

Memandangkan tapak ini mewakili bukti tamadun pada kurun pertama Masihi maka ianya berlangsung sama dengan tamadun di Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah. 

"Maka, kajian ini penting untuk melihat perkaitan antara keduanya bagi  membolehkan staf dan pelajar PPAG yang terlibat menimba pengalaman yang boleh dijadikan panduan dalam kajian di Sungai Batu, Kedah," tegas Mokhtar.

  • Created on .
  • Hits: 1795

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024