GEMBIRA KEMBALI KE USM- ROSZIMAH
PULAU PINANG, 19 Disember 2014 – “Saya gembira dan sangat teruja dapat kembali ke USM yang sekarang ini seperti sebuah perkampungan yang besar,” ujar alumni Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Roszimah Chik ketika ditemui di USM baru-baru ini. Beliau tidak pernah kembali ke USM sejak bergraduasi pada tahun 1995, tapi baru-baru ini beliau telah hadir ke USM bagi menyertai GMB-GST Open Day 2014.
“Banyak pengalaman manis sepanjang pengajian di USM, tapi yang paling menarik ialah terpilih sebagai pengerusi wanita pertama untuk Temasya Olahraga Tahunan USM,” ujar Roszimah yang juga lebih dikenali sebaga Rozie mengimbas kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
“Sebagai seorang graduan penyiaran, saya sangat teruja untuk masuk ke bidang penyiaran dan terus memohon pekerjaan dengan syarikat produksi selepas tamat peperiksaan tahun akhir,” ujar Rozie yang tamat pengajian pada tahun 1995.
“Alhamdulillah saya diterima bekerja di Serangkai Filem iaitu produksi Hafsah Hassan. Banyak pengalaman yang saya perolehi walau hanya bekerja selama lebih kurang dua tahun,” cerita beliau mengimbas kenangan dalam kerjaya dan kemudian beliau diterima bekerja dengan Astro sebagai penyelaras produksi.
Beliau kini adalah Pengarah Urusan, Infinity Channel Sdn Bhd yang menguruskan pelbagai perniagaan seperti pengurusan majlis, international trade, perhubungan awam dan juga konsultan perniagaan.
“Saya percaya rezeki akan hadir selagi kita jujur dan ikhlas dan satu lagi moto yang saya pegang adalah sentiasa berusaha bersama tawakkal,” ujar Rozie yang mempunyai cawangan perniagaan di London.
“Bagi anak-anak muda pada masa kini, carilah pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin untuk terus berjaya,” tambah Rozie yang juga Setiausaha Agong Pertubuhan Usahawan Generasi Muda (GMB). Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa dan sumbangan Roszimah Chik
- Created on .
- Hits: 1781