ANUGERAH KEPADA SAYA ADALAH KURNIAAN DARINYA
"Allah Maha Sempurna, Maha Adil dan setiap perancanganNya sebenarnya adalah yang terbaik untuk setiap makhluk yang dicipta."
Kepercayaan itu dipegang teguh Mohd Sharizal Abdul Aziz, 31, pemuda kelahiran Sungai Jawi, Pulau Pinang yang membesar di merata pelusuk negeri, mensyukuri setiap nikmat dan ujian yang diberi oleh Allah kepada hambaNya.
Ternyata, Anugerah Ikon Belia Bumiputera Pulau Pinang 2014 yang diterimanya baru-baru ini, membuktikan bahawa setiap insan memang telah ditakdirkan mempunyai jalan yang terang dalam perjalanan hidupnya.
Aktif dalam sukan renang, aktiviti kemasyarakatan, dan dalam masa yang sama, cemerlang dalam akademik melayakkan Sharizal menerima Anugerah Khas Juri, satu pencapaian yang tidak pernah terlintas dalam akal fikirnya.
Namun, disebalik kegembiraan semua yang dicapai, dia sebenarnya telah diuji dengan ujian dan dugaan yang amat berat dan tak tertanggung.
Melihat kepada penampilan yang kemas dan raut wajah yang tenang, tiada siapa akan menyangka Sharizal sebenarnya pernah bertarung nyawa 7 tahun yang lepas.
Memulakan cerita perubahan fasa hidupnya, Sharizal berkongsi pengalaman terlibat dalam kemalangan ngeri di tempat kerja di Tasik, Ipoh, Perak pada tahun 2007.
"Ketika itu saya baru menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Sains Malaysia (USM), bekerja sebagai juruteknik bagi mencari pengalaman dan duit poket sendiri," katanya.
"Waktu itulah ujian terbesar dalam hidup menimpa. Mesin yang dikendalikan meletup dan akibatnya, saya terpelanting jatuh dari ketinggian 28 meter."
"Akibat daripada letupan itu, saya mengalami patah tulang belakang, patah rusuk dan tengkuk serta terbakar di beberapa anggota badan."
"Kesan dari patah tulang belakang, membuatkan saya tidak mampu berjalan dengan sempurna dan perlu sentiasa berulang alik ke hospital sehingga kini bagi rawatan selanjutnya."
Tambah Sharizal, sewaktu terlantar derita, dia lebih mengenali siapa insan yang sentiasa disekelilingnya.
"Baru saya tahu siapa yang boleh ketawa dan menangis bersama. Namun, pengorbanan ibu yang membuatkan saya sangat terharu."
"Bayangkan, ibu sanggup menjaga saya dari petang sehingga ke pagi esoknya di hospital sebelum kembali memulakan kerjanya di sebuah syarikat swasta."
Terkenang kata pepatah kasih ibu sehingga ke syurga, Sharizal bertekad memulakan hidup baru selepas mulai sembuh, bagi membuktikan dia hanya kekurangan dari segi fizikal, tapi masih punyai banyak kelebihan dalam perkara yang lain.
Kemahuannya dibuktikan dengan apabila dia menyambung semula pengajiannya di peringkat Sarjana dan kini, sedang menunggu masa untuk menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, pengkhususan dalam bidang kajian berangka terhadap pematerian gelombang menggunakan teknik penggandingan haba.
"Bagi saya, kekurangan yang ada ini sebenarnya menjadi perangsang untuk saya membuktikan kepada masyarakat luar, semua orang mempunyai peluang kedua dalam hidup mereka."
"Dalam masa yang sama, saya ingin menyampaikan mesej bahawa kita patut mencuba sesuatu yang baru tanpa perlu takut akan risikonya."
"Sebab itulah, saya bergiat pula dalam sukan renang dan alhamdulillah, rezeki saya sebenarnya ada juga tersembunyi di situ."
Mengakui disiplin renang sedikit sebanyak membantunya menguatkan fizikal yang terjejas, Sharizal juga tidak menyangka sukan ini bakal membawa satu lagi lembaran baru dalam hidupnya.
"Semasa Kejohanan Sukan Paralimpiad Zon Utara pada 2013, saya berjaya merangkul 5 pingat emas, dan pada kejohanan yang sama pada 2014, saya membawa pulang 3 perak dan 1 gangsa."
"Saya juga pernah terpilih mewakili Malaysia ke Sukan Para Asian di Solo, Indonesia pada tahun 2011 dan sekali lagi akan mewakili negara di Singapura tahun depan."
Keistimewaan Sharizal juga tidak hanya terletak dalam bidang sukan dan akademik, malah dia juga mempunyai kebolehan menjadi seorang 'motivator'.
Kebolehan itu dapat digali apabila dia dijemput oleh seorang selebriti yang ketika itu menjadi Presiden Kelab K9, Ras Adiba Radzi.
"Nama Kelab K9 itu sendiri adalah merujuk kepada Wad K9 di Hospital Kuala Lumpur, yang dikhususkan kepada pesakit saraf tunjang."
"Objektif Kelab K9 adalah membantu pesakit yang mengalami masalah sama seperti kami, melalui kata-kata perangsang, memotivasikan mereka, menaikkan semangat dan kepercayaan terhadap diri sendiri."
"Diharapkan dengan usaha yang tidak seberapa ini, dapat membuatkan mereka berasa masih bernilai disisi orang yang tersayang," katanya yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Warga Istimewa Perak.
Titip Sharizal kepada yang senasib dengannya, jangan berputus asa selagi nyawa dikandung badan, jangan memandang rendah pada diri sendiri selagi tidak diteroka rahsia hidup yang ada.
"Dan percayalah, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dalam hujan yang membasahi, pasti ada pelangi yang menanti. Dalam terik panas mentari, cahayanya perlu untuk terangi bumi."
Kini, Sharizal bahagia dengan kehidupan barunya bersama isteri Nor Hana Adam dan permata hati, Muhammad Luth yang kini berusia setahun.
Teks/Mohamad Danial Shahri Foto/Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 3086