USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEPERIKSAAN TERTANGGUH UNTUK PELAJAR TERLIBAT BANJIR

PULAU PINANG, 29 Disember 2014 – Universiti Sains Malaysia (USM) membenarkan pelajar yang terkesan dengan bencana banjir untuk menduduki peperiksaan tertangguh secepat mungkin pada satu tarikh yang sesuai dan akan ditentukan kemudian.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, penentuan tarikh adalah dengan mengambil kira bilangan pelajar sebenar yang terlibat nanti dan beberapa faktor lain yang berkaitan.

"Tumpuan pada masa ini ialah keselamatan dan kebajikan semua pelajar yang terbabit dengan banjir termasuk yang terkandas dalam perjalanan balik ke kampus, tekanan perasaan yang mereka hadapi terutamanya yang berkaitan dengan keluarga, kesihatan dan pemakanan serta  yang penting mereka perlu membuat perancangan masa yang sesuai untuk kembali ke kampus," kata Ahmad Shukri. 

Menurutnya lagi, mereka yang dianggap terkesan dengan bencana banjir adalah apabila daerah/tempat tinggal pelajar terlibat dengan bencana banjir. perjalanan pulang ke kampus USM tersekat dan kesan emosi yang dihadapi oleh pelajar untuk memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan tenang.

Ahmad Shukri meminta para pelajar mengambil berapa langkah- perlu apabila kembali ke kampus iaitu dengan melapor diri ke pejabat desasiswa (asrama) masing-masing sekiranya tiba selepas waktu pejabat atau bagi  yang tiba di dalam tempoh waktu pejabat  dan pelajar yang tidak menginap di desasiswa mereka perlu melapor diri ke pusat pengajian, pusat atau ke Seksyen Peperiksaan dan Pengijazahan bertempat di Bilik Operasi Peperiksaan Kampus USM.

USM juga menyediakan khidmat rundingan kaunseling dan kesihatan jika diperlukan oleh para pelajar dan mereka boleh berhubung terus dengan Pusat Sejahtera USM yang terletak di dalam kampus.

Ahmad Shukri menyeru mereka yang terkesan dengan banjir ini untuk menghubungi segera Seksyen Peperiksaan dan Pengijazahan di Bangunan Canselori USM dan mengisi borang yang perlu yang turut diletakkan di laman web USM, www.usm.my atau telefon 04 654 3123/3139/3909/3124 untuk mendapat khidmat nasihat yang sewajarnya.

"Kita amat bersimpati dengan pelajar dan semua mereka yang terlibat dengan banjir dan akan membantu apa sahaja yang boleh apatah lagi dalam kalangan pelajar kita yang  menghadapi peperiksaan yang bermula hari ini di Kampus Induk Pulau Pinang dan Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal," kata Ahmad Shukri.​

USM menangguhkan semua peperiksaan di Kampus Kesihatan Kelantan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan nanti. Teks: Mohamad Abdullah  

 

  • Created on .
  • Hits: 1791

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024