USM HARGAI LAWATAN MENTERI KESIHATAN
KOTA BHARU,, 31 Dis. 2014 - Universiti Sains Malaysia (USM) amat menghargai lawatan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ke Hospital USM semalam.
Menurut Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, lawatan tersebut amat besar maknanya kepada USM.
Dalam lawatan tersebut Naib Canselor dan Pengarah Hospital USM Dato' Dr. Zaidun Kamari memberi taklimat operasi Hospital USM terutamanya dalam memberikan perkhidmatan kepada pesakit memandangkan Hospital USM adalah satu-satunya hospital yang masih berfungsi sepenuhnya ketika Kelantan dilanda banjir.
"Kita telah menyatakan keperluan tambahan doktor perubatan, jururawat dan paramedik untuk membantu menguruskan fasa transisi pasca banjir sebelum hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia mampu beroperasi sepenuhnya," kata Omar.
Tambahnya, usaha ini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu lagi.
Justeru, kata Omar, kunjungan Menteri Kesihatan menyuntik semangat dan sokongan bermakna untuk semua pihak di USM meneruskan usaha yang dilakukan ini.
"Saya ingin rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau dan KKM atas bantuan, sokongan dan kerjasama yang diberi," kata Naib Canselor.
Beliau bercakap melalui telesidang dalam perjumpaan dengan pegawai-pegawai USM untuk menguruskan operasi bantuan pasca banjir. Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 2484