USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERMUDAHKAN PROSES PENGAMBILAN SISWAZAH PENYELIDIKAN

050913-1

Pulau Pinang, 5 September - Universiti Sains Malaysia (USM) sedang berusaha untuk mempermudahkan proses pengambilan calon pelajar ijazah tinggi dalam usaha menggalakkan lebih ramai mengikutinya termasuk dari dalam kalangan calon luar negara.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, langkah ini penting dalam membantu mereka yang akan mengikuti pengajian ijazah tinggi secara penyelidikan untuk menyesuaikan masa pendaftaran dengan beberapa kekangan seperti mendapatkan visa dan kelulusan majikan.

050913-2

“Kita bersedia menimbangkan pengurangan yuran dan membuat pengubahsuaian yang perlu agar ia tidak merugikan calon-calon yang mendaftar untuk mengikuti pengajian ijazah tinggi secara penyelidikan di samping turut menawarkan beberapa zamalah khas untuk membantu mereka,” kata Naib Canselor USM itu lagi.

Peluang untuk mengikuti pengajian ijazah tinggi terbuka luas kepada mereka yang berminat dengan dana besar dari pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan melalui MyBrain dan MyPh.D yang masing-masing 700 orang pada peringkat sarjana dan doktor falsafah USM telah mendapat faedah daripada kedua-dua program tersebut.

050913-3

Di samping itu, USM sendiri memberikan bantuan dana melalui zamalah seperti USM Global Fellowship di samping beberapa bentuk lain termasuk untuk calon dari luar negara.

“Kita juga menggalakkan para pensyarah yang mempunyai geran penyelidikan untuk membantu calon siswazah mereka untuk tujuan yang sama,” kata Omar.

DSC 0072

Naib Canselor USM memberitahu hal ini selepas menghadiri Majlis Sambutan Siswa untuk kira-kira 1,800 orang calon ijazah tinggi baharu USM di Kampus Induk terutamanya yang mengikuti pengajian melalui mod kerja kursus dan mod campuran. Kira-kira 3,000 calon ijazah tinggi mendaftar diri di USM pada tahun ini.  Pada masa ini 40% daripada pelajar ijazah tinggi USM adalah dari luar negara termasuk dari Brunei, Saudi Arabia, Bermuda, Republik Rakyat China, Indonesia, Libya, Oman, Palestin, Syria, Thailand, Vietnam, Yemen dan 25 buah negara lain.

Dalam sidang media yang sama, Omar berkata USM juga sedang membuat pemetaan untuk menggalakkan pelajar peringkat sarjana untuk mengikuti pengajian pada peringkat doktor falsafah, terutamanya dalam kalangan mereka yang mengikutinya secara mod campuran kerana penyediaan tesis yang lebih mantap.

DSC 0090

“Pada masa ini kira-kira 25% daripada calon ijazah tinggi berijazah pada tempoh yang ditetapkan dan kita mensasarkan sekitar 20% pada semester ini memandangkan mereka terikat dengan pelbagai perkara yang menjadi cabaran terutamanya untuk mendisiplin diri dari segi masa,” tambah Omar.

Omar juga turut mengumumkan yang USM akan menawarkan dua program baharu ijazah tinggi iaitu Pembangunan Kelestarian dan Kejuruteraan Internet yang dijangka pada Februari 2014 melalui program multi-disiplin.

Terdahulu dalam ucapannya kepada calon baharu pengajian ijazah tinggi, Naib Canselor USM itu menasihatkan agar mereka sentiasa menyedari tentang cabaran masa hadapan untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan, menguasai teknologi dan bersedia dengan perubahan-perubahan yang berlaku dengan adanya transformasi yang menjadikan dunia ini semakin kecil dalam konteks komunikasi dan ilmu.

“Hanya mereka yang bersedia menghadapi segala perubahan yang berlaku akan mampu terus berjaya pada masa hadapan apatah lagi menyesuaikan diri dengan budaya baharu dan proses globalisasi yang memerlukan sikap toleransi dan nilai yang lebih universal dan terbuka,” kata Omar.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Dr. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Dekan Institut Pengajian Siswazah Profesor Dr. Othman Sulaiman, Pendaftar Puan Siti Zubaidah A. Hamid serta pegawai-pegawai utama universiti yang lain. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa.

 

 

 

 

  • Created on .
  • Hits: 1296

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024