USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM WUJUD ZAMALAH SISWA APEX

030913-1
PULAU PINANG, 3 September 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan memperkenalkan Program Zamalah Siswa Apex untuk mengetengahkan bakat-bakat dalam kalangan pelajar ijazah pertama ke dunia antarabangsa melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan juga institusi serta universiti dari luar negara.
 
Hal ini penting dalam usaha untuk melebarkan peluang para siswazah negara ini untuk berkhidmat di mana sahaja di dunia ini dan bersaing dalam pasaran terbuka.
 
Demikian dinyatakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Sidang Media selepas Majlis Sambutan Siswa di kampus USM di sini.
 
usmikraq
“Program zamalah ini adalah untuk memastikan kecemerlangan akademik dan sahsiah dapat digabung bersama termasuk kepimpinan untuk dibangunkan secara berstruktur dalam usaha mengetengahkan bakat yang ada secara khusus ke pentas dunia,” kata Omar.
 
Tambahnya, selepas peperiksaan semester pertama nanti, bakat-bakat yang ada akan dipilih, kemungkinan di antara 200  ke 500 orang mengikut dana yang ada untuk mengikuti program-program tertentu seperti internship dan sandaran di organisasi-organisasi dan institusi multinasional serta universiti yang bertaraf dunia di negara-negara seperti Jepun, India mahu pun Eropah.
 DSC 0499
 
Usaha untuk mengasah bakat-bakat ini perlu dibuat secara tersusun untuk melahirkan mereka yang mempunyai pemikiran dan menguasai budaya global, dipantau secara berterusan dan diberikan bimbingan yang sewajarnya.
 
“Pada masa ini, lebih kepada secara kebetulan dengan bakat-bakat yang lahir dari dalam kalangan pelajar universiti, berdaya saing dan berupaya untuk melangkah ke dunia antarabangsa, mahu pun mencipta nama dalam kalangan tempatan,” tambah Omar.
 
030913-3
Menurutnya lagi, pada peringkat permulaan tumpuan akan diberi kepada pelajar ijazah pertama dan kemudiannya akan mempertimbangkan untuk diperluaskan kepada calon-calon sarjana dan doktor falsafah.
 
Sebelum itu dalam amanatnya kepada mahasiswa baharu USM, Omar berkata USM pada dasarnya ingin melihat kejayaan pelajar dan siswazahnya dengan  memeta kedudukan yang seluas mungkin, bukan hanya berada di sini tetapi di mana sahaja berdasarkan  falsafah dan konsep yang cuba dibangunkan bukan sekadar membangunkan negara dalam konteks lokaliti tetapi keupayaan bersaing di peringkat dunia, dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran yang mampu dikongsi di mana sahaja.
 
Tambahnya lagi, kemampuan untuk mengeksport seramai mungkin anak muda berkhidmat di mana sahaja di dunia penting dan USM  sedang membuat pemetaan untuk menghasilkan para sarjana APEX bertaraf dunia yang dapat dibangunkan kapasitinya untuk dibawa ke peringkat antarabangsa seawal ijazah pertama dengan komponen akademik, sahsiah dan kepimpinan yang jelas. 
 
030913-4
“Kita ingin mengangkat dan membawanya secara lebih tersusun dan teratur,  tidak hanya ingin membawa kepakaran luar ke sini dalam konteks yang betul dan keperluan yang ada tetapi juga membawa mahasiswa, sarjana dan kepakaran kita ke pentas dunia sama ada ke institusi pengajian tinggi mahu pun institusi lain termasuk industri untuk mengukuhkan usaha kesarjanaan APEX ini dengan sebaik mungkin,” kata Omar.
 
Naib Canselor USM itu turut menasihati mahasiswa baharu agar menggunakan peluang yang diperolehi dengan sebaik mungkin dan meruntuhkan segala tembok yang menghalang mereka untuk mencapai kejayaan.
 
Pada tahun ini, USM menerima seramai 4,684 orang pelajar baharu dengan 3,272 di kampus Induk Pulau Pinang, 678 orang di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan 734 orang di Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan.
 
Turut mendaftar untuk pertama kalinya ialah 24 orang dari kumpulan terpilih dalam kalangan pelajar dari pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak serta 44 orang pelajar dari luar negara seperti Arab Saudi, Bangladesh, Republik Rakyat China, Indonesia, Thailand dan beberapa negara lain.
 
Hadir sama di majlis tersebut ialah ahli Lembaga Gabenor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, ahli-ahli Senat dan pegawai-pegawai kanan USM. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
  • Created on .
  • Hits: 1491

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024