BUAT PILIHAN YANG BETUL UNTUK MASA HADAPAN, KATA NC
PULAU PINANG, 2 September 2013 - Setiap orang sentiasa mempunyai pilihan dalam menentukan hala tuju dan masa hadapannya. Terpulanglah kepada seseorang untuk membuat pilihan yang betul.
Demikian kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman kepada mahasiswa baharu USM dalam Majlis Makan Malam di sini.
"Universiti sangat menghargai bakat yang ada dan bersedia membantu mereka yang ingin kembangkannya sejauh yang mungkin dan ini bergantung kepada keinginan dan pilihan yang dibuat saudara-saudari,” kata Naib Canselor.
Beliau menasihatkan mahasiswa untuk bijak membuat pilihan yang terbaik kerana apa jua keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada kehidupan mereka pada masa hadapan.
“Sama seperti pilihan yang dibuat untuk memasuki sesebuah universiti, kebanyakan perkara memerlukan seseorang itu membuat pilihan yang betul, namun ada masanya kita juga tidak mempunyai banyak pilihan atau tidak boleh lagi membuat pilihan misalnya apabila sakit seseorang itu tidak ada pilihan lain selain mengubatinya dan seperti mana apabila seseorang pelajar tidak belajar dan tidak memenuhi syarat yang diperlukan untuk mendapat ijazah, maka universiti juga tiada pilihan selain dari menyingkirkannya,” kata Omar mengingatkan para pelajar.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa baharu agar benar-benar meneliti apa jua pilihan yang dibuat supaya sentiasa sesuai dan secocok dengan kehendak dan keperluan diri, keluarga dan masyarakat kerana pada akhirnya diri sendiri jua yang akan menanggung kesan dari setiap pilihan yang dibuat.
“Saudara-saudari yang akan menentukan destini diri sendiri, malah juga universiti dan negara pada masa hadapan justru saya menyeru agar kita membina satu destini bersama melalui pilihan-pilihan yang ada dan terbaik untuk mencapai puncaknya," kata Naib Canselor itu lagi.
Seramai 200 orang mahasiswa baharu yang menginap di Desasiswa Cahaya Gemilang menghadiri majlis makan malam yang diadakan di Pusat Rancangan Ko-Kurikulum USM itu.
Hadir sama ialah isteri Naib Canselor Datin Noraizan Jamaluddin, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Profesor Dato' Dr. Abdul Rashid Mohamed, Pengarah Pusat Rancangan Ko-Kurikulum, Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman, Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang Mohd. Shafiee Ariffin, Pengarah Pusat Sejahtera Dr. Nurulain bt. Abdullah Bayanuddin dan beberapa orang pegawai kanan universiti yang lain. - Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1178