USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASTIKAN KEDAULATAN NEGARA DIPELIHARA-NC

030813-1

PULAU PINANG, 2 September 2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini menyeru semua warga USM supaya mengambil iktibar serta memelihara kedaulatan Negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-56. Ianya penting untuk pembangunan Negara dan memastikan kehidupan aman dan terus merdeka.

“Kedaulatan negara ini harus diambil berat supaya kita sentiasa hidup dengan harmoni,” kata Omar di perjumpaan bulanan kali ke-9 bagi tahun 2013 di Kampus Induk.

030913-2

Perjumpaan bulanan seperti ini juga turut diadakan di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan, Kubang Kerian. 

Naib Canselor turut menyatakan hasratnya untuik meletakkan semua pertubuhan sukarela USM di bawah satu bumbung.

030913-3

“Dengan adanya satu pusat sehenti atau one stop centre ini akan memudahkan pengurusan semua pertubuhan dan persatuan sekaligus menyokong aktiviti sukarela yang diadakan,” kata Omar.

“Ini juga bersesuaian dengan pertambahan kerja-kerja sukarela dalam kalangan staf USM yang memberangsangkan dan perlu terus diterapkan dalam kalangan staf selaras dengan aktiviti sukarela dalam kalangan pelajar yang aktif selama ini untuk menolong orang lain,” tambah beliau lagi

Terdahulu Datin Dr. Joriah Muhammad, Pengarah Pusat Pembangunan Perniagaan, Keusahawanan dan Pengurusan Risiko yang juga Presiden Persatuan Staf Wanita USM menerangkan tentang pelbagai aktiviti sukarela yang telah dijalankan selama ini yang begitu mencabar dan banyak memberi faedah kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

Joriah, yang memegang jawatan Presiden selama empat penggal berkata, aktiviti persatuan yang diadakan termasuklah senamrobik, badminton, tuisyen untuk anak-anak staf dan juga bengkel-bengkel peperiksaan untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan juga SPM.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis yang sama ialah Penolong Pegawai Penerbitan, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Firdaus Abu Bakar, yang menyentuh  tentang kepentingan latihan dan juga kursus-kursus yang dianjurkan oleh PIPPA bagi memastikan  kecemerlangan pentadbiran secara keseluruhannya dan pentingnya untuk warga universiti berhati-hati dalam penulisan surat dan cara berkomunikasi yang boleh memberi kesan kepada imej universiti .

Hadir sama dalam perjumpaan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr See Ching Mey dan Pendaftar, Siti Zubaidah A. Hamid.

DSC 0262

Pada majlis yang sama, warga yang hadir turut meraikan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Naib Canselor pada hari ini dengan Profesor Dato’ Dr. Omar Osman memotong kek yang ditemani oleh isteri beliau, Datin Noraizan Jamaludin. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1643

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024