USM DAN SENGENICS BINA MAKMAL TALASEMIA
PULAU PINANG, 20 Januari 2015- Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Malaysian Node of the Human Variome Project (MyHVP) bekerjasama dengan Sengenics Sdn. Bhd. (SSB) akan membina makmal molekul yang berfokus kepada genetik, genomik dan bioinformatik terutamanya penyakit talasemia.
Menurut Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman bidang ini boleh dijadikan satu kluster kecemerlangan di peringkat universiti dan dengan terhasilnya 'prototype thalassemia diagnose kit' nanti ianya adalah produk pertama di dunia yg dpt mengesan pesakit talasemia dengan lebih awal.
"Kolaborasi dengan SSB selama tiga tahun ini akan menghasilkan produk akhir yang boleh dikomersialkan serta memberikan manfaat dengan kos yang berpatutan," tambah Naib Canselor di sini ketika menandatangani Memorandum Perjanjian bersama SSB.
Pengarah Perniagaan SSB, Johan Hafiz Iskandar berkata sampel pesakit talasemia akan dihantar ke makmal ini untuk diuji manakala kit yang dihasilkan akan dipasarkan di seluruh hospital dan juga pusat perubatan yang ada.
"Dengan harga di bawah RM100 untuk setiap kit, penyakit ini dapat dibendung dan dirawat pada peringkat awal kerana menurut kajian seramai 5 peratus daripada rakyat Malaysia berkemungkinan mengidap penyakit talasemia," tambah Johan.
SSB adalah syarikat pertama yang menawarkan perkhidmatan diagnostik molekul di luar Amerika Syarikat serta di tubuhkan pada tahun 2008 di bawah sayap Oxford Gene Technology oleh saintis terkenal dunia Profesor Sir Ed Southern.
Manakala MyHVP pula adalah projek saintifik global yang beroperasi di bawah pengurusan Pusat Pengajian Sains Perubatan di Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan dan dipimpin oleh Profesor Dr. Zilfalil Alwi.
Melalui MoA yang ditandatangan, kedua-dua pihak dapat membangunkan penyelidikan serta para pelajar USM dapat meningkatkan kemahiran hasil latihan dan juga perkongsian ilmu oleh para saintis terkemuka dunia melalui SSB.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato' Dr See Ching Mey dan para pelajar MyHVP. - Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2070