USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARI PENGERUSI PENGASAS TEXCHEM

300813 - 3

PULAU PINANG, 30 Ogos 2013 - Saya begitu terharu dan gembira apabila mendapat berita bahawa Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganugerahkan kepada saya Ijazah Kehormat Doktor Sains (Hon. D.Sc) untuk Konvokesyen ke-48 USM ini.

Demikian kata Pengerusi Pengasas (Founder Chairman) Texchem Group of Companies, Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi, yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di pejabatnya hari ini.

“Saya tidak sangka akan dicalonkan sebagai penerima anugerah ini daripada sebuah universiti terkemuka seperti USM lebih-lebih lagi saya cuma ada kelulusan Ijazah Sarjana Muda. Walau macam mana pun, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada D.Y.M.M Tuanku Canselor USM yang berkenan menganugerahkan ijazah kehormat kepada saya,” kata Tan Sri Konishi.

Tan Sri Konishi akan menerima anugerah Ijazah Kehormat itu daripada D.Y.M.M Tuanku Canselor USM di sidang pertama Majlis Konvokesyen ke-48 USM yang bakal diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra pada 19 September 2013. Selain itu, pengasas Kampus Kesihatan USM, Dato’ Dr. Mohd. Roslani bin Abdul Majid juga akan dikurniai gelaran Profesor Emeritus dalam sidang yang sama majlis konvokesyen tersebut.

Tan Sri Konishi dipilih sebagai penerima ijazah kehormat bukan sahaja kerana beliau ialah seorang tokoh korporat dan usahawan yang ulung tetapi juga kerana sumbangannya yang begitu besar dalam menjalinkan hubungan antara industri dan universiti, terutamanya bersama USM yang terbukti melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan, akademik dan pembangunan pelajar khususnya dengan Pusat Pengajian Pengurusan, Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.

Dalam perjumpaan tersebut, Naib Canselor dan Tan Sri Konishi juga membincangkan kerjasama dua hala yang berpotensi dijalankan antara pihak Texchem Group dan USM dalam beberapa bidang berkaitan yang diceburi oleh Texchem Group dan ada kepakarannya di USM.

Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM, Profesor Dr. Hanafi Ismail; Presiden dan Pengarah Eksekutif Texchem Resources Bhd., Brian Tan Guan Hooi dan Penolong Pengurus Besar Texchem Resources Bhd., Chin Sye Cheng. - Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1389

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024