USM HANTAR ENAM KUMPULAN KIK KE KONVENSYEN HORIZON BAHARU KIK UNIVERSITI AWAM KALI KE-18
USM PULAU PINANG, 4 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menzahirkan komitmennya dalam membudayakan inovasi dengan menghantar enam Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bagi menyertai Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18.
Pertandingan tahun 2026 itu berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan menyaksikan penyertaan 53 kumpulan KIK daripada universiti awam seluruh Malaysia.
Konvensyen berkenaan turut menjadi platform untuk mengetengahkan projek inovasi berimpak tinggi serta mengiktiraf usaha warga universiti dalam memperkasa budaya inovasi dan meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.
USM diwakili enam kumpulan yang terdiri daripada tiga kumpulan dari Kampus Induk, dua kumpulan dari Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan satu kumpulan dari Kampus Kesihatan, melibatkan penyertaan dalam kategori Inovasi Sosial dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.
Antara projek inovasi yang dipertandingkan ialah Modul Latihan Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) Intelek – VT@USM, Modul Penghasilan Cendawan Tiram Kaedah MycoBoost, SAFE-GAS, MED-BLANKET Natural Firm, RADxAppt dan Selimut Multisensori.
Penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada penyampaian perkhidmatan, kesejahteraan masyarakat, penyelidikan serta pembangunan organisasi, selaras dengan aspirasi universiti untuk terus memacu kecemerlangan dan kelestarian melalui budaya inovasi.
- Created on .
- Hits: 23