USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA PENGIKTIRAFAN SEBAGAI PUSAT VERIFIKASI KUALITI MICRO-CREDENTIALS NEGARA

USM PULAU PINANG, 4 Ogos 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima Kelulusan Penuh sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus membolehkan USM menjalankan penilaian dan verifikasi kualiti bagi Stand-alone Micro-credentials (SAMC) untuk Tahap Sijil (MQF Tahap 3) hingga Ijazah Kedoktoran (MQF Tahap 8).

USM menerima pengiktirafan sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (QVC) daripada MQA

Kelulusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Pembelajaran Sepanjang Hayat MQA pada 3 Julai 2026, sekali gus mengiktiraf keupayaan USM dalam memastikan penawaran micro-credentials memenuhi standard jaminan kualiti kebangsaan.

Pencapaian tersebut merupakan satu lagi kejayaan strategik USM dalam memperkasakan agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta menyokong usaha negara memperluaskan akses kepada pendidikan yang fleksibel, berkualiti dan diiktiraf.

Koordinator Pusat Pengesahan Kualiti (QVC) USM, Dr. Nik Hadiyan Nik Azman berkata, pengiktirafan itu membuktikan kepercayaan MQA terhadap keupayaan USM membangunkan ekosistem micro-credentials yang berteraskan kualiti, tadbir urus yang baik dan penambahbaikan berterusan.

"Kelulusan penuh ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada Universiti Sains Malaysia dan mencerminkan komitmen warga USM dalam memastikan setiap program Stand-alone Micro-credentials yang dinilai memenuhi standard kualiti ditetapkan MQA.

"Pengiktirafan ini juga mengukuhkan peranan USM sebagai peneraju dalam pembangunan dan verifikasi mikro-credentials di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, melalui QVC, USM bersedia memperluaskan kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan, industri serta penyedia latihan bagi memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dan mempercepat pembangunan modal insan yang berdaya saing.

QVC USM ditubuhkan sebagai pusat yang bertanggungjawab menjalankan penilaian dan verifikasi kualiti bagi program Stand-alone Micro-credentials mengikut garis panduan MQA, selain menjadi antara peneraju dalam memperkasakan amalan jaminan kualiti micro-credentials di Malaysia melalui pembangunan dasar, latihan, khidmat rundingan dan penilaian kepada pelbagai institusi.

Kelulusan penuh itu turut mengiktiraf keupayaan USM sebagai rakan strategik kepada institusi pendidikan tinggi dalam memastikan setiap program micro-credentials memenuhi piawaian nasional, sekali gus meningkatkan keyakinan industri dan masyarakat terhadap kelayakan yang ditawarkan.

Pelantikan QVC USM berkuat kuasa selama lima tahun bermula 3 Julai 2026, tertakluk kepada syarat dan pemantauan berterusan oleh MQA.

  • Created on .
  • Hits: 39

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025