USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DATIN DR. NOOR HAZLINA AHMAD DILANTIK SEBAGAI TNCAA USM YANG BAHARU

PULAU PINANG, 31 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengumumkan pelantikan Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCAA) yang baharu berkuat kuasa 3 Ogos depan.

Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM

Lantikan berkenaan bagi menggantikan Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan dalam jawatan tersebut.

Noor Hazlina merupakan tokoh akademik yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan, inovasi, kepimpinan dan pembangunan organisasi. Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Keusahawanan dari University of Adelaide, Australia, selain Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari USM dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sebelum pelantikan sebagai TNCAA, beliau berkhidmat sebagai Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM sejak tahun 2019 dan berjaya menerajui pelbagai transformasi strategik yang memperkukuh kecemerlangan akademik, pengantarabangsaan dan kemampanan institusi.

Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM

Di bawah kepimpinan beliau, beberapa program akademik berimpak tinggi berjaya diperkenalkan termasuk Sarjana Analitik Perniagaan yang dibangunkan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta Sarjana Pengurusan Profesional dengan kerjasama Majlis Peguam Malaysia.

Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM

Kerjasama eksklusif dengan Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Mesir juga telah diwujudkan bagi membangunkan bakat kepimpinan digital dalam kalangan pelajar terbaik Mesir sejak tahun 2022. Inisiatif ini telah memperluas kehadiran antarabangsa USM dan memperkukuh peranannya dalam melahirkan golongan profesional yang bersedia menghadapi ekonomi berasaskan data dan dipacu teknologi digital.

Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM

Komitmen beliau terhadap inovasi pendidikan tinggi turut terserlah melalui penerajuan pelbagai inisiatif pembelajaran fleksibel termasuk program luar pesisir, Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL), micro-credential serta Stackable Degree.

Antara pencapaian signifikan beliau ialah pembangunan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian) berasaskan micro-credential dengan kerjasama QSR Brands serta penerokaan program Sarjana Pengurusan Berpandu Kecerdasan Buatan yang bakal menjadi antara penawaran akademik futuristik USM.

Di peringkat antarabangsa, Noor Hazlina kini menyandang jawatan Presiden Asian Academy of Management (AAM) bagi penggal 2025–2027. Kepimpinan beliau telah menyumbang kepada pengukuhan jaringan akademik serantau melalui pelbagai inisiatif kolaboratif melibatkan universiti dan organisasi di Asia, Eropah serta Timur Tengah, khususnya dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan mobiliti akademik.

Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM

Beliau juga aktif menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara melalui penglibatan dalam pelbagai jawatankuasa dan inisiatif strategik, termasuk sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Pelaburan Strategik dalam Pendidikan di bawah Kajian Reformasi Pendidikan Kebangsaan yang diterajui Akademi Sains Malaysia, selain terlibat dalam pembangunan Piawaian Pengurusan Inovasi Malaysia berasaskan siri ISO 56000.

Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM

Pelantikan beliau diyakini akan memperkukuh lagi agenda akademik dan pengantarabangsaan USM, khususnya dalam memacu inovasi pendidikan, memperluas jaringan kerjasama global, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkasakan kedudukan universiti sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka di peringkat dunia.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto:Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 29

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025