LAWATAN AKADEMIK WALAILAK UNIVERSITY PERKUKUH KERJASAMA ANTARABANGSA BERSAMA USM
USM PULAU PINANG, 1 Ogos 2026 – Lawatan dari Walailak University, Thailand ke Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik serta meneroka peluang kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.
Delegasi akademik melibatkan 34 mahasiswa serta tujuh staf akademik dan pentadbiran berkenaan diraikan oleh barisan pengurusan PPPJJ yang diketuai Dekannya, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob bersama pensyarah dan pentadbir pusat pengajian itu.
Beliau berkata, lawatan akademik ini mencerminkan komitmen PPPJJ USM dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa selaras dengan agenda pengantarabangsaan universiti.
“Melalui hubungan strategik seperti ini, PPPJJ terus komited melahirkan ekosistem pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global, sekali gus memperkukuh kedudukan USM sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi taklimat mengenai sejarah penubuhan PPPJJ, peranannya sebagai peneraju pendidikan jarak jauh di USM, selain perkembangan terkini berkaitan pembelajaran fleksibel berteraskan teknologi digital, program akademik serta pelaksanaan micro-credentials dan agenda pengantarabangsaan.
Lawatan itu turut diisi dengan sesi perbincangan dua hala yang memfokuskan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, mobiliti pelajar dan pensyarah, perkongsian kepakaran akademik serta penganjuran program antarabangsa.
Ketua Delegasi Walailak University, Dr. Kiki Juli Anggoro pula berkata lawatan berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara Walailak University dan USM.
Beliau berkata pihaknya berharap lawatan itu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat, khususnya dalam bidang penyelidikan, penerbitan serta program mobiliti pensyarah dan pelajar.
Menurut beliau, kerjasama yang bakal dijalinkan dijangka memperluaskan peluang perkongsian ilmu, pengalaman dan budaya melalui pelbagai program kolaboratif yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
- Created on .
- Hits: 203