USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ILMUAN DISERU BERKONGSI KEBAIKAN – TUANKU CANSELOR

canselor 2

PULAU PINANG, 19 Sept.2013 – Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menyeru agar ilmu pengetahuan yang dikuasai pada peringkat mana pun mestilah mampu memberi kebaikan kepada orang lain.

Titah baginda, ilmuan khususnya para graduan dari menara ilmu mestilah menunjukkan contoh tauladan yang baik sebagai orang berilmu, memberi kebaikan kepada orang lain dan menjaga nama baik sebagai orang yang berilmu.

`Sebagai seorang yang berilmu, kita juga diingatkan supaya tidak bertindak melulu dan sentiasa mengekalkan adab dengan akal budi yang tinggi,’’ titah baginda ketika menyempurnakan sidang pertama Upacara Konvokesyen ke-48 USM di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini hari ini.

canselor

Baginda juga bertitah, perkara tersebut penting dalam menunjukkan betapa orang yang berilmu sentiasa berakhlak, berhemah dan sentiasa ingin berbakti.

``Sebagai orang berilmu, elakkan daripada menjadi beban dan masalah kepada orang lain jauh sekali menjadi parasit yang mengganggu keharmonian yang ada. 

``Graduan USM juga turut bertanggungjawab menjaga nama baiknya di mana sahaja berada dan berakhlak mulia. Jangan letakkan batas sempadan untuk berbudi kepada orang lain dan runtuhkanlah segala tembok pemisahan yang menghalang daripada berbuat demikian dan mencapai kejayaan,’’ titah baginda.

Dalam pada itu, Upacara Konvokesyen Ke-48 USM turut menyaksikan pemasyuran Pro-Canselor ke-3, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur serta penganugerahan ijazah kehormat kepada dua tokoh terkemuka iaitu mantan Dekan Pengasas dan Pengarah Kampus Kesihatan Pertama USM, Profesor Dato’ Dr. Roslani Abdul Majid (Profesor Emeritus) dan tokoh korporat terkenal merangkap Pengerusi Texchem, Tan Sri Dato’ Seri Fumihiko Konishi (Ijazah Kehormat Doktor Sains).

canselor3

Upacara Konvokesyen pada tahun ini akan diadakan dalam pecahan tujuh sidang dengan menyaksikan seramai 5427 graduan berijazah meliputi ijazah tinggi, ijazah pertama dan diploma.

Turut dimuatkan dalam sidang pertama adalah pengijazahan graduan sulung Doktor Kesihatan Awam dan penganugerahan Pingat Emas Canselor kepada graduan terbaik, Yong Bang Ming. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa.

  • Created on .
  • Hits: 1186

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024