USM PULAU PINANG, 30 Julai 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini meraikan satu detik bersejarah Mesyuarat Senat buat kali ke-300, disambut dalam satu majlis ringkas sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dan kecemerlangan tadbir urus akademik universiti sejak penubuhannya.
Majlis diserikan dengan upacara simbolik memotong kek sempena Mesyuarat Senat Ke-300 yang disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama barisan Pengurusan Tertinggi Universiti.
Turut bersama dalam upacara tersebut ialah Pendaftar Universiti Sains Malaysia merangkap Setiausaha Mesyuarat Senat Universiti Sains Malaysia, Mohd Azizudin Mohd Shariff.
Sebagai sebahagian daripada pengisian majlis, USM turut mengadakan Majlis Penghargaan kepada professor-profesor dipilih sebagai Ahli Senat bagi Sesi 2023 – 2026 sebagai pengiktirafan terhadap jasa, komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkukuh tadbir urus akademik serta memacu kecemerlangan universiti sepanjang tempoh pelantikan.
Naib Canselor seterusnya menyampaikan surat Penghargaan dan cenderahati kepada profesor-profesor dipilih sebagai ahli Senat yang menganggotai jawatankuasa utama universiti sebelum diteruskan kepada ahli-ahli Senat yang lain.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menandakan pencapaian penting Mesyuarat Senat Ke-300, malah mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menghargai sumbangan warga akademik yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecemerlangan serta kelestarian tadbir urus universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq